Info Kerjaya Malaysia

Rebat Elektrik TNB: 50% Untuk Golongan B40 Bermula April, Rebat Bakal Tertera Dalam Bil Bulan Mei

3,328

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyediakan sumbangan tambahan berjumlah RM150 juta bagi menyokong usaha terbaru kerajaan membantu rakyat menerusi pemberian rebat elektrik berperingkat.

Hampir 90 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menerima rebat 15 hingga 50 peratus secara automatik bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan rebat tertinggi sebanyak 50 peratus diterima kumpulan B40.

Langkah ini diambil seperti yang diumumkan di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin di bawah;

Sebagai tambahan, Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan. Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. Diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020. Sementara itu, diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.

Rebat berkenaan akan tertera pada bil elektrik mulai Mei 2020.

Rebat TNB

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka melembapkan aktiviti ekonomi dan memberi impak mendalam dengan keadaan semasa.

“Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan rakyat, TNB menyokong penuh usaha kerajaan untuk meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan dan komited untuk menyalurkan dana dengan inisiatif memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Minggu lalu, TNB juga menyumbang sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan, terutama di institusi perubatan dan kesihatan negara yang menjadi barisan hadapan negara dalam menangani koronavirus baharu (Covid-19).

Beliau berkata, lembaga pengarah TNB juga telah meluluskan tambahan sumbangan sebanyak RM10 juta yang akan disalurkan ke beberapa hospital lain di seluruh negara.

“Tumpuan kami kini adalah membantu KKM untuk memerangi Covid-19 dan menolong rakyat daripada golongan yang mudah terkesan.

“Ia akan menjadi satu perjuangan yang panjang dan TNB akan terus bersama rakyat Malaysia untuk menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, di bawah rebat berperingkat terbabit, tiga juta pengguna domestik (penggunaan bulanan bawah 200kWh) akan menerima rebat 50 peratus, manakala 1.5 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 201 kWh dan 300kWh) menerima rebat 25 peratus dan 2.2 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 301kWh dan 600kWh) menerima rebat 15 peratus.

Rebat elektrik ini akan disubsidi secara bersama oleh kerajaan, TNB serta dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

SUMBER

close-image