Jangan Sampai Hilang Kerja, Bayar Kompaun & Pulang Bekerja Semula
PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) — Mana-mana pihak yang sudah pulang ke kampung sempena cuti perayaan, dinasihatkan untuk tidak takut dengan kompaun dan tindakan undang-undang, dan mereka perlu pulang ke kota untuk menyambung tugasan serta pekerjaan, seperti biasa.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu pulang atau berdepan risiko hilang pekerjaan, hanya kerana takut dikenakan kompaun.
“Kalau lolos dahulu, mereka cekap. Tetapi ketika balik tidak dapat lolos, mereka akan diambil tindakan polis. Jadi, bayar sahajalah kompaun. Jangan sampai tidak pulang. Jangan sebab takutkan dikompaun, tidak balik dan akhirnya hilang pekerjaan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang mereka untuk kembali pulang bekerja, tetapi tindakan yang bakal dikenakan terpulang kepada polis, memandangkan sekatan jalan raya akan terus dikekalkan.
Tegasnya juga, tiada istilah polis berkeras dalam mengeluarkan kompaun kepada pesalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sewaktu menyambut perayaan, kerana amaran telah acapkali dikeluarkan sebelum ini.
“Ketua Pengarah Kesihatan dan saya sendiri telah banyak kali mengingatkan dan menasihatkan orang ramai, pentingnya mematuhi PKPB atau berdepan tindakan.
“Polis tidak berkeras kerana jumlah yang dikenakan kompaun terlalu kecil, berbanding jumlah rakyat Malaysia. Jadi polis akan terus bertegas dalam melaksanakan undang-undang,” katanya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilaporkan sebagai berkata, penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib jika tidak kembali bekerja selepas Aidilfitri, kerana terperangkap di kampung, akibat melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh PKPB.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu seorang pemandu bas wanita di Singapura yang kematian suaminya, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menguruskan kes kecemasan, termasuk pengebumian.
Namun tegasnya, ia harus dilakukan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, seperti jumlah individu yang menghadiri upacara pengebumian.
“Individu tersebut boleh melawat upacara pengebumian dengan syarat memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan hanya boleh merentas negara hanya selama tiga jam, dengan diiringi pegawai kesihatan,” tambahnya.
Sumber: Bernama