1 Juta Pekerja Industri Pelancongan Bakal Hilang Kerja Kerana COVID-19
Kira-kira satu juta pekerja sektor pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan pada tahun ini susulan penularan jangkitan COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dunia.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, industri itu juga merekodkan kerugian kira-kira RM20 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Beliau yang menyatakan kebimbangan dengan perkembangan itu menyifatkan angka itu sebagai ‘menakutkan’.
“Daripada data kementerian, kira-kira 17,000 pemandu pelancong barangkali tergolong dalam kategori ini.
“Ini belum mengambil kira keluarga dan anak-anak mereka,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Ekoran itu katanya, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menerusi Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) telah mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan bagi membincangkan tindakan dan strategi susulan ketika krisis ini.
Antara pelan pemulihan itu katanya, adalah termasuk memperkenalkan inisiatif berteraskan pendigitalan komunikasi seperti program latihan pelancongan secara dalam talian, Virtual Advisory Clinic bagi penggiat industri pelancongan, kelas muzik, tarian secara dalam talian, pameran maya, menyediakan paltform e-pemasaran seperti e-Kraf Bazar dan GoGallery.My.
Antara lain katanya, kementeriannya juga sedang mengadakan perbincangan untuk memberi pengecualian cukai kepada pemandu pelancongan.
“Selain itu, dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan pada 31 Mac lalu, saya telah menyampaikan hasrat dan cadangan kementerian dan para penggiat industri supaya dimasukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberi jaminan bahawa penuntut Sarawak yang masih berada di universiti masing-masing di Semenanjung susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan pulang ke kediaman atau kampung halaman mereka sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kita sedang mengatur proses perjalanan membabitkan lebih 6,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sini bagi mengelakkan mereka transit di beberapa lokasi,” katanya lagi.