Info Kerjaya Malaysia

Program Sangkutan Mahkamah Atasan : Program Latihan Tempatkan Pelajar Secara Terus Dengan Hakim

1,155

Program Latihan Tempatkan Pelajar Secara Terus Dengan Hakim

Untuk makluman, badan kehakiman telah memperkenalkan satu program latihan yang akan menempatkan pelajar yang sedang atau telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (LLB (Hons.), secara terus dengan seorang hakim mahkamah atasan.

Mahkamah Untuk Penempatan Pelajar

Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menyatakan, pelajar-pelajar terpilih akan ditempatkan secara terus, dengan seorang hakim mahkamah yang terdiri daripada :

  • Hakim Mahkamah Persekutuan.
  • Hakim Mahkamah Rayuan.
  • Hakim Mahkamah Tinggi.
  • Pesuruhjaya Kehakiman.

Tujuan Program Sangkutan Mahkamah Atasan

Tujuan Program Sangkutan Mahkamah Atasan adalah untuk menjadi satu platform latihan tambahan kepada pelajar tersebut dan peluang meningkatkan pemahaman sistem kehakiman dan proses kerja mahkamah serta pendedahan secara khusus di sebalik tabir tugas seorang hakim.

Syarat-Syarat Permohonan Program Sangkutan Mahkamah Atasan

  • Permohonan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang sedang atau telah menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian LLB (Hons.) daripada mana-mana universiti tempatan atau luar negara.
  • Tempoh program sangkutan adalah tidak melebihi satu (1) bulan atau mana-mana tempoh yang ditetapkan.
  • Pemohon program sangkutan tidak layak menuntut sebarang bayaran elaun, tuntutan perjalanan atau penginapan dan perlindungan perubatan sepanjang tempoh program sangkutan.
  • Penempatan pemohon sepanjang program sangkutan akan ditentukan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
  • Sepanjang tempoh program sangkutan, pemohon perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam yang berkuatkuasa.
  • Pemohon dikehendaki untuk menandatangani perakuan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk merahsiakan segala maklumat yang diperoleh sepanjang tempoh program sangkutan.
  • Sijil perakuan mengikuti program sangkutan akan diberikan tertakluk kepada budi bicara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
  • Program sangkutan ini bukan satu jaminan untuk pemohon akan diterima masuk ke Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di masa akan datang.
  • Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mempunyai budi bicara untuk menolak sebarang permohonan dan / atau pada bila-bila masa menamatkan program sangkutan sekiranya didapati pemohon melanggar terma dan syarat program sangkutan. Sebarang keputusan adalah muktamad.
  • Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan boleh mengenakan apa-apa syarat lain jika perlu dari semasa ke semasa sepanjang tempoh program.
  • Pemohon yang berminat hendaklah memohon kepada Bahagian Latihan dan Pembangunan Kapasiti Kehakiman, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia melalui e-mel [email protected] selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh cadangan program sangkutan dengan mengemukakan maklumat berikut dalam format Microsoft Word atau PDF :
    a. Satu (1) halaman muka surat esei dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris menjelaskan mengapa pemohon berhasrat untuk dipertimbangkan menyertai program sangkutan.
    b. Maklumat peribadi (curriculum vitae) yang dikemas kini.
    c. Keputusan dan transkrip peperiksaan terkini.
    d. Sijil dan transkrip ijazah.
    e. Borang Permohonan Program Sangkutan Mahkamah Atasan Badan Kehakiman Malaysia yang menyatakan :
    – Tarikh dan tempoh masa cadangan untuk mengikuti program sangkutan.
    – Bidang undang-undang pilihan.
    – Nama YA Hakim pilihan pemohon bagi mengikuti program sangkutan.
    – Akujanji tidak pernah terlibat dalam apa-apa jenayah dan proses litigasi.
    – Akujanji berkelakuan baik.
    – Nama pihak untuk dihubungi ketika kecemasan beserta jenis pertalian.
    – Penyataan sumber pemerolehan maklumat tentang program.
  • Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mempunyai hak untuk membuat semakan dengan mana-mana pihak termasuk pihak Universiti bagi mengesahkan maklumat di dalam permohonan.

PROSEDUR PENGENDALIAN STANDARD (SOP)

Rujuk carta dibawah.

Program Sangkutan Mahkamah Atasan : Program Latihan Tempatkan Pelajar Secara Terus Dengan Hakim

Maklumat Lanjut & Pertanyaan

Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan berkaitan Program Sangkutan Mahkamah Atasan, sila hubungi :

  • PEJABAT KETUA PENDAFTAR
    Mahkamah Persekutuan Malaysia,
    Istana Kehakiman,
    Presint 3, 62506,
    Putrajaya, Malaysia.
  • Telefon : 03 8880 3500
  • Faks : 03 8880 3886
  • Emel : [email protected]

close-image