PM Syor Majikan Beri Galakkan Pekerja Bekerja dari Rumah. Anda Setuju atau Tidak?

2,367

Masalah penjagaan anak-anak pekerja akan mampu diselesaikan sekiranya majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau ‘every alternate days’.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah, bahkan boleh menyusun jadual hari bekerja secara selang-seli.

Menurutnya, walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) kesihatan tertentu, beliau tahu ramai ibu bapa masih bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

“Walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik.

“Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah. Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Muhyiddin berkata, langkah melonggarkan pasangan suami isteri untuk datang ke tempat kerja secara berselang-seli secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan.

Menurutnya, adalah lebih mudah untuk penjaga mengurus anak-anak pekerja mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan sekiranya bilangan kanak-kanak di pusat penjagaan dikurangkan.

“Bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei ini, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

“Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat.

“Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal,” katanya.

Sumber

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image