MTUC Cadang Gaji Pekerja Tempatan RM2700 Sebulan Untuk Sektor Tertentu
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan gaji bulanan di bandar besar ditetapkan pada kadar RM2,700 sebulan bagi menarik perhatian rakyat tempatan menceburi sektor pekerjaan yang sering didominasi warga asing.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata ia bagi memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan susulan pendirian kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.
Katanya, rakyat tempatan sebelum ini, sering menolak menceburi sektor pekerjaan berkenaan berikutan kadar gaji rendah, keadaan bekerja tidak memuaskan serta disebabkan dasar berkaitan pekerjaan.
“Kita yakin negara tidak akan berdepan masalah menggunakan tenaga rakyat tempatan bagi menggantikan pekerja asing, jika mereka dibayar setimpal dan keadaan kerja bertambah baik.
“Ribuan rakyat tempatan bekerja dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya) di luar negara, antaranya di Singapura, Australia dan Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor hingga hujung tahun ini, bagi memberi keutamaan kepada penduduk tempatan.
Solomon berkata, pekerja sektor 3D juga wajar diambil secara tetap bagi memastikan layak menerima pelbagai faedah disediakan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Kita perlu menuju ke arah tangga gaji berasaskan kos sara hidup di sesebuah kawasan. Contohnya, di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang gaji bersih tidak boleh kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga perlu efektif dalam pemeriksaan dan penguatkuasaan akta bagi melindungi pekerja, selain kerajaan perlu memberi insentif kepada majikan yang menggaji rakyat tempatan menggantikan pekerja asing.
“COVID-19 menyaksikan sektor pekerjaan gagal beroperasi tanpa pekerja. Justeru, biarkan majikan lebih berperikemanusiaan, selain gaji pihak atasan perlu dikurangkan dan diseimbangkan,” katanya.