Info Kerjaya Malaysia

Nak Mohon Kerja Tapi Sijil SPM Hilang! Ni Cara Mudah Untuk Anda Mohon Semula

30,525

Sijil peperiksaan sememangnya sangat penting buat anda untuk melanjutkan pengajian ataupun untuk memohon pekerjaan. Jadi, jika sijil peperiksaan ini hilang, anda pasti panik dan tidak senang duduk.

Manakan tidak, sijil peperiksaan ini merupakan perkara wajib yang diminta jika anda memohon kerja atau menyambung pengajian kerana sijil ini menjadi bukti bahawa anda telah menduduki peperiksaan.

Baca juga: Permohonan Skim Perumahan Belia BSN MyHome 2020 

Tidak kiralah faktor kehilangan itu berpunca daripada kecuaian anda sendiri ataupun secara tidak sengaja seperti hilang dalam bencana banjir, terbakar dalam kebakaran dan sebagainya.

Anda tidak perlu risau kerana anda sebenarnya boleh mendapatkan kembali sijil tersebut. Dalam artikel ini, anda akan mendapat panduan tentang cara-cara memohon semula sijil peperiksaan anda yang hilang tidak kiralah sama ada sijil SPM, PMR, PT3 atau UPSR.

CARA-CARA MEMOHON SEMULA SIJIL PEPERIKSAAN YANG HILANG

Terdapat dua cara untuk anda dapatkan semula sijil peperiksaan anda yang telah hilang. Kedua-dua cara ini akan dikongsi dan anda hanya perlu memilih cara mana yang anda gemari. Kedua-dua cara tersebut adalah seperti berikut.

  • Membuat permohonan melalui kaunter Lembaga Peperiksaan Malaysia.
  • Membuat permohonan melalui pos.

PERMOHONAN MELALUI KAUNTER LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA

Cara pertama yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan semula sijil peperiksaan anda yang hilang adalah dengan cara membuat permohonan melalui kaunter Lembaga Peperiksaan Malaysia. Cara-caranya adalah seperti berikut:

1.) Anda perlu mengisi borang LP/ SIJIL/ Pin 1/96a. Borang ini boleh didapati di kaunter Perkhidmatan Sijil Lembaga Peperiksaan Malaysia di Aras Bawah, Blok E11, Kompleks E, Putrajaya.

Jika anda ingin menggunakan cara yang lebih mudah untuk mendapatkan borang ini, anda hanya perlu layari laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia dan pergi ke Bahagian Lembaga Peperiksaan. Seterusnya, anda perlu memuat turun Borang Permohonan Keputusan Peperiksaan.

2.) Jika anda ingin hadir sendiri ke kaunter Lembaga Peperiksaan, anda perlu menunjukkan dokumen pengenalan diri sebagai bukti ketika anda membuat Permohonan Salinan Keputusan Peperiksaan.

3.) Jika anda tidak dapat hadir, anda boleh menghantar wakil untuk pergi ke kaunter Lembaga Peperiksaan. Namun, wakil tersebut haruslah dipilih daripada ahli keluarga terdekat dan anda juga harus membuat suatu surat bertulis menyatakan anda mewakilkan orang tersebut bagi pihak anda.

4.) Wakil yang anda pilih harus membawa bersama Surat Pelantikan Wakil yang ditandatangani oleh anda serta salinan kad pengenalan anda yang telah disahkan. (Anda boleh rujuk borang permohonan keputusan peperiksaan jika anda ingin memuat turun surat pelantikan wakil untuk wakil anda.)

5.) Permohonan melalui orang perseorangan tanpa Surat Perlantikan Wakil, agen atau syarikat tertentu tidak dibenarkan sama sekali.

6.) Bayaran sebanyak RM 30 dikenakan bagi setiap salinan pernyataan keputusan peperiksaan. Anda boleh membuat bayaran secara tunai di kaunter.

PERMOHONAN MELALUI POS

Jika anda ingin membuat permohonan secara pos, anda boleh mengikut cara-cara ini.

  1. Isi borang LP/ SIJIL/ Pin 1/ 96a (Borang yang sama seperti dalam permohonan di kaunter Lembaga Peperiksaan)
  2. Sertakan sekali salinan kad pengenalan anda.
  3. Alamatkan pos anda kepada:
  4. PENGARAH PEPERIKSAAN LEMBAGA PEPERIKSAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA ARAS 10, BLOK E 11, KOMPLEKS E PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 62604 PUTRAJAYA.

TEMPOH PENGELUARAN SALINAN SIJIL PEPERIKSAAN

Tempoh untuk anda mendapatkan semula sijil peperiksaan anda berbeza mengikut cara permohonan yang anda buat.

Tempoh Pengeluaran Sijil Peperiksaan Melalui Permohonan di Kaunter

  • Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada atau selepas 1994 – 1 jam.
  • Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada atau sebelum 1993 – 7 hari bekerja
  • Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada atau selepas 1998 – 1 jam
  • Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada atau sebelum 1997 – 7 hari bekerja
  • Lain-lain peperiksaan – 7 hari bekerja

Tempoh Pengeluaran Sijil Peperiksaan Melalui Permohonan Pos

  • Semua permohonan melalui pos akan diproses selama 7 hari bekerja tanpa mengira hari perjalanan pos.

PERMOHONAN SIJIL PEPERIKSAAN UPSR DAN PT3

Untuk pengetahuan anda, Lembaga Peperiksaan Malaysia tidak mengeluarkan salinan sijil peperiksaan bagi UPSR dan PT3. Namun, jika anda kehilangan sijil peperiksaan ini, anda masih boleh mendapatkannya dengan cara berhubung dengan pihak sekolah. Pihak sekolah selalunya akan menyimpan salinan sijil peperiksaan anda tersebut.

Anda dinasihatkan untuk mengisi borang permohonan sijil peperiksaan dengan lengkap kerana permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses. Hal ini akan menyebabkan anda tidak boleh mendapatkan semula sijil peperiksaan anda.

Pastikan juga maklumat yang anda isi dalam borang permohonan tersebut semuanya betul. Diingatkan sekali lagi bahawa sijil peperiksaan anda ini sangatlah penting untuk memohon kerja dan melanjutkan pelajaran. Jadi jika sijil anda hilang, mohonlah sekarang. Jangan tunggu lagi!


close-image