Info Kerjaya Malaysia

Mahu Jual Rumah? Ini 11 Panduan Lengkap Untuk Anda Ikuti

394

Mahu Jual Rumah?

Mungkin ada sebab tertentu yang menyebabkan anda mahu menjual rumah. Sama ada anda mempunyai rumah yang lain, tidak sesuai untuk tinggal di tempat tersebut atau anda bakal berpindah ke luar negeri.

Ikuti panduan yang dikongsikan ini untuk membantu anda menjual rumah dengan mudah.

11 Panduan Menjual Rumah

Berikut adalah 11 panduan untuk menjual rumah anda yang boleh diikuti.

  • Semak maklumat rumah
  • Kaji harga pasaran
  • Bantuan ejen hartanah
  • Dapatkan peguam
  • Rumah sedia untuk dilawat
  • Iklan
  • Proses ‘Viewing’
  • Rundingan harga
  • Letter of Offer
  • SPA
  • Bayar cukai

1. Semak maklumat rumah

Sediakan maklumat terperinci tentang rumah yang ingin dijual seperti :

  • Adakah rumah anda lot bumiputera atau bukan bumiputera? Jika lot bumiputera, ia boleh dipindah milik kepada bukan bumiputera selagi ianya mematuhi garis panduan Kerajaan Negeri.
  • Adakah rumah anda Tanah Pegangan Bebas (Freehold) atau Pegangan Pajakan (Leasehold)? Jika freehold selalunya harganya lebih mahal, manakala leasehold pula lebih berisiko kerana ia dipajak atau disewa oleh kerajaan.
  • Semakan terhadap pinjaman perumahan sama ada ia ada penalti bagi Lock In Period. Lock In Period adalah tempoh di mana peminjam tidak dibenarkan menjual hartanah mereka. Tetapi jika dijual juga akan dikenakan penalti sekitar 2% hingga 5%.

Buat kira-kira dengan teliti sekiranya anda mahu mendapat keuntungan hasil jualan rumah anda.

2. Kaji harga pasaran

Sebelum menjual rumah, anda boleh membuat kajian harga pasaran rumah dan tetapkan harga yang anda mahukan. Terdapat 2 perkara yang membantu anda untuk mendapatkan harga yang berpatutan :

  • Membuat semakan harga dengan ejen hartanah
  • Mendapatkan perkhidmatan juru nilai hartanah yang profesional

3. Bantuan ejen hartanah

Dapatkan bantuan ejen hartanah sekiranya anda mahu menjadikan proses jual beli rumah anda mudah dan teratur.

Anda juga perlu tahu bahawa ejen hartanah (Real Estate Agent: REA) berbeza dengan perunding hartanah (Real Estate Negotiator : REN).

Ejen hartanah lebih bertauliah daripada perunding hartanah kerana ejen hartanah perlu melalui lebih banyak kursus, pengalaman praktikal dan juga ujian.

Mereka akan membantu anda memasarkan rumah anda untuk dijual, berunding dengan pembeli dan memastikan proses jual beli rumah berjalan dengan lancar.

4. Dapatkan peguam

Anda perlu mendapatkan khidmat peguam untuk menguruskan segala perjanjian berkaitan jual beli rumah. Walaupun kebanyakan orang berkongsi peguam yang sama untuk urusan ini, anda digalakkan untuk mendapatkan peguam anda sendiri untuk menguruskan hal ini mengikut undang-undang.

Peguam tidak mewakili kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli kerana akan timbul konflik kepentingan berkaitan jual beli rumah ini.

Mahu Jual Rumah? Ini 11 Panduan Lengkap Untuk Anda Ikuti

5. Rumah sedia untuk dilawat

Anda juga perlu memastikan bahawa rumah anda sedia untuk dilawati oleh pembeli. Jadi anda perlu melakukan proses pembersihan rumah anda sebelum dilawat oleh bakal pembeli.

Anda tidak perlu membazir wang anda. Cuma pastikan rumah anda dalam keadaan yang bersih dengan menyapu, mengemop lantai serta bersihkan habuk yang ada.

Pastikan rumput di rumah dipotong pendek dan sampah dibuang terlebih dahulu. Periksa peralatan elektrik seperti lampu, soket, kipas berfungsi dengan baik. Sistem paip dan air juga perlu diperiksa dan pastikan berfungsi dengan baik.

6. Iklan 

Iklankan rumah anda yang ingin dijual secara online. Masukkan gambar rumah anda secara terperinci selain daripada maklumat seperti harga, lokasi dan saiz rumah.

Ambil gambar setiap ruang rumah anda seperti halaman hadapan rumah, bilik, ruang tamu, dapur dan bahagian belakang dengan jelas. Pastikan keadaan sebenar sama dengan di dalam gambar.

7. Proses ‘Viewing’

Tetapkan temujanji dengan betul dan tepat serta pastikan anda bersedia untuk memenuhi tarikh tersebut. Pastikan anda profesional ketika proses ini kerana pembeli akan beranggapan yang negatif sekiranya anda tidak memenuhi temujanji anda.

Anda juga boleh bekerjasama dengan ejen hartanah ketika melalui proses viewing. Baiki dahulu kerosakan kecil yang ada sebelum hari viewing.

Mahu Jual Rumah? Ini 11 Panduan Lengkap Untuk Anda Ikuti

8. Rundingan harga

Rundingan harga dengan pembeli akan wujud selepas pembeli bersetuju untuk membeli rumah anda.

Proses tawar menawar harga akan berlaku dimana pembeli pastinya akan meminta diskaun daripada anda walaupun anda telah meletakkan harga di dalam iklan.

Untuk memastikan rundingan harga berjalan lancar, dapatkan tips daripada ejen hartanah anda supaya anda dapat menjual rumah anda mengikut harga yang anda inginkan.

9. Letter of Offer

Setelah mendapat persetujuan harga daripada pembeli, anda boleh meminta pembeli untuk tandatangan Letter of Offer atau surat Tawaran Membeli daripada pihak bank.

Kandungan maklumat di dalam Letter of Offer ialah :

  • Harga yang dipersetujui
  • Jumlah deposit
  • Nama pembeli dan penjual
  • Alamat lengkap rumah yang dijual
  • Sebarang kelengkapan yang dijual bersama
  • Tarikh akhir perjanjian jual dan beli akan ditandatangani

Letter of Offer bertujuan untuk mengelakkan daripada pembeli menarik diri daripada urusan pembelian dan mengelakkan daripada penjual menjual rumah kepada orang lain.

2% hingga 3% daripada jumlah deposit akan dibayar kepada ejen hartanah atau peguam oleh pembeli. Melalui pembayaran ini menunjukkan komitmen pembeli dan akan dipegang oleh pihak ketiga atau ‘escrow’ sebelum urusan jual beli diselesaikan.

Mahu Jual Rumah? Ini 11 Panduan Lengkap Untuk Anda Ikuti

10. SPA

Perjanjian jual beli atau Sales and Purchase Agreement diuruskan oleh peguam anda. SPA merupakan satu kontrak yang sah daripada segi undang-undang yang mengandungi butir-butir penjualan yang berlaku antara kedua-dua pihak.

Pastikan pembeli memahami dengan jelas tentang syarat-syarat yang dipersetujui. Ia bertujuan mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul di kemudian hari.

Pembeli akan membayar 10% downpayment daripada harga jualan setelah perjanjian ditandatangani. Perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari selepas SPA ditandatangan.

Secara umumnya, dalam mana-mana SPA, anda akan mendapat 90% lagi bayaran dari tarikh perjanjian ditandatangani dan dimatikan setem.

Walau bagaimanapun, tempoh masa ini boleh berubah dan tertakluk kepada syarat perjanjian yang telah dipersetujui oleh anda dan pembeli.

11. Bayar cukai

Selepas berlaku proses jual beli, anda peru membayar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau RPGT.

Ia dikenakan sekiranya anda berjaya mendapat keuntungan hasil daripada penjualan sahaja. Jika tiada keuntungan, anda tidak perlu membayar cukai.

Tahukah anda bahawa kerajaan memberikan kemudahan kepada anda untuk membuat pengecualian sekali seumur hidup bagi pelupusan cukai rumah kediaman.

Kadar cukai CKHT adalah seperti berikut :

Mahu Jual Rumah? Ini 11 Panduan Lengkap Untuk Anda Ikuti

Melalui perkongsian ini, manfaatkan panduan yang diberikan supaya proses menjual rumah anda berjalan dengan lancar dan mudah seperti mana yang anda inginkan.

Adakah anda ingin membeli rumah? Ikuti panduan asas membeli rumah pertama seperti yang dikongsikan dan rujuk disini.

close-image