Info Kerjaya Malaysia

LHDN Semak Silang Dengan 11 Agensi Sebelum Meluluskan BPN

3,293

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan semakan silang dengan pangkalan data yang terkini daripada 11 agensi kerajaan sebelum meluluskan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Agensi yang terbabit dalam proses semakan silang itu ialah Jabatan Akauntan Negara, Bendahari Negeri seluruh Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, MARA, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Baca: Klik Untuk Buat Rayuan BPN di Buka Sehingga 31 Mei

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata semakan itu bertujuan untuk mengelak sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh katanya, pihaknya dapat mengenal pasti permohonan yang memiliki syarikat dan pangkalan data menunjukkan syarikat adalah aktif berdasarkan aktiviti transaksi perbankan syarikat yang terbabit.

“Selain itu terdapat 240,465 permohonan diterima daripada pelajar sepenuh masa yang terpaksa kita tolak kerana mereka tidak layak mendapat BPN berikutan mereka layak mendapat RM200 menerusi bantuan pelajar institusi pengajian tinggi secara one-off.

“Sehubungan itu, isu-isu yang ditularkan di media sosial sebenarnya tidak tepat kerana permohonan yang diproses disaring dengan data pelbagai agensi, bukan LHDN sahaja,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama, BH dan New Straits Times di sini, hari ini.

Antara isu yang tular itu ialah gagal dalam permohonan BPN kerana gaji melebihi julat pendapatan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu sama ada melebihi RM2,000 bagi kategori bujang B40; RM4,000 bagi kategori bujang M40 dan isi rumah B40 dan RM8,000 bagi kategori isi rumah M40.

Selain itu, ada pemohon mendapat jumlah BPN kurang daripada kelayakan yang diumumkan, termasuk yang mendakwa menerima RM1,000 sedangkan kelayakan adalah RM1,600 atau menerima RM500 sedangkan kelayakan adalah RM800.

Isu lain termasuk BPN diberikan kepada golongan yang tidak sewajarnya menerima BPN, seperti contoh orang kenamaan.

Mengulas lanjut Sabin berkata, setiap permohonan yang diterima telah dibuat semakan secara terperinci dengan data sedia ada dalam simpanan LHDN yang turut merangkumi data 11 agensi yang lain, termasuk pelaporan pendapatan bagi tujuan cukai pendapatan.

“Oleh itu, sama ada seseorang itu layak atau sebaliknya, telah melalui proses semakan yang ketat bagi mengurangkan ketirisan hasil kerajaan dengan mengelak orang yang tidak layak daripada menerima BPN,” katanya.

Berkenaan penerimaan BPN oleh orang kenamaan, Sabin berkata, semakan LHDN mendapati bahawa proses penentuan penerima BPN teratur dan mereka yang diluluskan mempunyai tahap pendapatan bercukai di dalam julat pendapatan yang layak menerima bantuan ini.

Ia katanya, telah dipadankan dengan kriteria pendapatan BPN iaitu data percukaian terkini di LHDNM berdasarkan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan.

“Manakala bagi isu penerimaan BPN kurang daripada kelayakan adalah disebabkan oleh penetapan dasar oleh Kementerian Kewangan (MoF) yang mengarahkan LHDN untuk membuat semula semakan silang berdasarkan data-data terkini yang diterima daripada agensi-agensi yang terpilih.

“Ini menyebabkan golongan yang pada awalnya lulus dalam Fasa 1 BPN, menjadi sebaliknya dalam Fasa 2, kerana semakan silang ini mendapati mereka terkeluar daripada julat pendapatan yang ditetapkan.

“Sungguhpun begitu, MoF dan LHDN telah membuka semula proses rayuan sehingga 31 Mei ini yang menyediakan ruang kepada pemohon tampil membuat permohonan rayuan,” katanya.

Sumber

close-image