Info Kerjaya Malaysia

Bagaimanakah Cara Berkomunikasi Mengenai Kesihatan Mental Anda Dengan Majikan?

333

Masalah Kesihatan Mental Ditempat Kerja

Terdapat pelbagai jenis masalah kesihatan pekerja ditempat kerja selain daripada penyakit-penyakit kronik iaitu masalah kesihatan berkaitan mental. Ia juga berpunca daripada masalah tekanan atau stres melampau yang berkaitan dengan bebanan kerja serta tempoh kerja yang panjang.

Jadi, apabila berlakunya masalah ini, perlukah seorang pekerja beritahu masalah yang dialami kepada majikan? Bagaimanakah caranya untuk beritahu kepada majikan anda?

Ini kerana dikhuatiri majikan mengambil langkah-langkah yang tidak diingini seperti memberhentikan kerja dan sebagainya.

Faktor Penyebab Masalah Kesihatan Mental Tempat Kerja

Terdapat beberapa faktor dan penyebab masalah kesihatan mental di tempat kerja seperti :

  • Kelemahan organisasi.
  • Beban kerja melampau.
  • Tugasan yang mempunyai konflik.
  • Kurang keyakinan terhadap masa hadapan.
  • Masalah antara pekerja.
  • Penderaan fizikal, psikologi dan seksual.
  • Kurangnya sokongan daripada pihak atasan.
  • Kelemahan komunikasi.

Bagaimanakah Cara Berkomunikasi Mengenai Kesihatan Mental Anda Dengan Majikan?

Cara Untuk Berkomunikasi Dengan Majikan Anda

Bagaimanakah caranya untuk beritahu kepada majikan anda mengenai masalah kesihatan mental yang sedang anda lalui? Atau anda boleh sahaja memilih orang yang anda percayai di dalam syarikat untuk menceritakan mengenai masalah ini?

Bagi sesetengah pekerja, mungkin mereka akan berkongsi masalah kepada Pegawai Sumber Manusia dan seterusnya dirujuk kepada Kaunselor pekerja.

Pekerja yang mengalami masalah seperti ini perlu mempunyai sokongan untuk terus bekerja dengan tenang.

Cara untuk memberitahu kepada majikan / bahagian sumber manusia mengenai masalah kesihatan mental adalah seperti berikut :

1. Tentukan Masa Untuk Berkongsi

Kongsikan masalah ini sebelum ianya menjadi lebih serius dan mengganggu prestasi kerja anda. Tiada siapa pun di dalam pejabat anda yang menyedari masalah yang dialami sekiranya anda berdiam diri dan membiarkan masalah tersebut seorang diri.

Sekiranya anda merasakan tugasan yang diberikan membebankan anda, beritahu kepada Bahagian Sumber Manusia dan berbincang. Sekurangnya anda tidak membiarkan segala beban terletak diatas bahu anda seorang sahaja. Malahan perasaan serta emosi yang terganggu juga akan berkurangan.

2. Pilih Orang Yang Ingin Berkongsi

Tahukah anda bahawa terdapat 60% pekerja tidak pernah berkongsi mengenai masalah kesihatan mental mereka yang berpunca daripada tekanan kerja?

Ini menyebabkan majikan atau bahagian sumber manusia tidak tahu mengenai masalah yang pekerja alami dan menyebabkan prestasi pekerja makin menurun serta menyebabkan mereka dibuang kerja tanpa mengetahui masalah sebenar yang dialami oleh pekerja tersebut.

Bagi sesebuah syarikat, mereka menyediakan Kaunselor atau Pegawai Sumber Manusia yang terlatih untuk menangani masalah pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental. Jadi, pekerja boleh berkongsi masalah ini dengan mereka dan mendapatkan jalan penyelesaian.

3. Berjumpa Untuk Berkongsi 

Setelah anda tahu dengan siapa anda bakal berkongsi cerita mengenai masalah anda, anda tetapkan masa, hari untuk berjumpa. Jumpa dahulu Pegawai Sumber Manusia atau Kaunselor atau Majikan anda dan nyatakan bahawa anda ingin berjumpa pada masa dan hari tertentu untuk berbincang perkara berkaitan kerja dan masalah yang anda alami.

Pastinya anda mahu mereka sedar bahawa anda sedang melalui masa-masa yang sangat sukar dan inginkan penyelesaian masalah serta berharap mereka dapat membantu anda.

Anda boleh cadangkan kepada mereka untuk berikan cuti kepada anda untuk bertemu kaunselor. Sekiranya anda mengetuai projek atau tugasan, minta tolong rakan sekerja untuk membantu anda atau minta supervisor untuk mengatur semula jadual dan pembahagian tugasan supaya kerja yang diberikan dapat disiapkan mengikut jadual.

Jadi, senaraikan beberapa perkara yang berkaitan dengan pekerjaan anda sebelum anda berkongsi dengan mereka.

Bagaimanakah Cara Berkomunikasi Mengenai Kesihatan Mental Anda Dengan Majikan?

Topik Yang Perlu Dielakkan

Semasa berbincang dengan Pegawai Sumber Manusia atau Majikan, elakkan untuk menyalahkan syarikat, pengurus, supervisor atau majikan anda.

Terus nyatakan bahawa anda mempunyai tekanan, kegelisahan atau kemurungan yang boleh mempengaruhi prestasi pekerjaan anda.

Kemudian minta pertolongan mereka untuk mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan kembali prestasi kerja anda. Pastinya majikan anda berusaha untuk membantu kerana mereka juga mempunyai tujuan yang sama iaitu mempunyai pekerja yang bahagia, sihat dan berprestasi tinggi.

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Majikan

  • Kempen kesihatan mental disyarikat.
  • Kenal pasti masalah dan penambahbaikan.
  • Beri perhatian segera kepada pekerja yang bermasalah.
  • Masa yang fleksibel atau bekerja mengikut masa.
  • Galakkan pekerja berkongsi masalah ketika perjumpaan mingguan.
  • Berikan teguran secara tertutup dan perseorangan.
  • Saling menghormati antara satu sama lain serta komunikasi yang betul antara majikan dan pekerja.
  • Memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada pekerja terutamanya berkaitan dengan masalah yang dialami oleh pekerja.

Langkah Mengatasi Masalah Oleh Pekerja

  • Kenalpasti tahap kemampuan diri dan cuba belajar mengenai benda baru supaya anda lebih bersedia dan tidak dibuli dengan bebanan kerja.
  • Katakan TIDAK sekiranya anda merasakan anda tidak mampu untuk  menyelesaikan tugas rakan yang lain.
  • Berani meminta pertolongan rakan sekerja sekiranya tugasan yang diberikan agak membebankan anda.
  • Seimbangkan masa kerja dan kehidupan peribadi anda. Tinggalkan kerja di pejabat dan berehat dirumah. Ambil cuti jika perlu.
  • Sentiasa berkongsi masalah dengan orang yang anda percaya.
  • Lakukan senaman, hobi, aktiviti kegemaran anda serta tenangkan diri dan tidur yang secukupnya.

Bagaimanakah Cara Berkomunikasi Mengenai Kesihatan Mental Anda Dengan Majikan?

close-image