Belia Lelaki Paling Mudah Diberhentikan, Hilang Pekerjaan Naik 42 Peratus Suku Pertama 2020
Pihak PERKESO menyatakan bahawa belia lelaki paling mudah diberhentikan serta hilang pekerjaan dan naik 42% suku pertama bagi tahun 2020.
Data LOE menunjukkan 61 peratus kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah, dengan 31 hingga 40 tahun menyumbang 32 peratus manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29 peratus
Pekerja Lelaki Ramai Diberhentikan Kerja
Dikhabarkan bahawa 60% pekerja lelaki lebih cenderung diberhentikan kerja berbanding pekerja wanita. Mengikut kenyataan ini, terdapat lebih ramai pekerja lelaki daripada wanita dalam tenaga kerja.
Berdasarkan data PERKESO, 7.5 juta kakitangan aktif berdaftar dengan Perkeso pada 2019. Manakala 1.458 juta bekerja dalam sektor berkaitan pelancongan dan 1.457 juta pula bekerja dalam bidang pembuatan. Lebih daripada separuh perniagaan ditutup melibatkan majikan besar dengan jumlah pekerja lebih 200 orang dalam sektor pelancongan.
Ini menjadikan kadar pengangguran belia stabil sebanyak 8% hingga 11%.
Pada kadar 41 peratus, pekerja muda berusia 30 tahun dan ke bawah merangkumi majoriti pekerja aktif berdaftar dengan PERKESO, peningkatan enam peratus dari 2018. Daripada jumlah itu, 70 peratus mempunyai pengalaman bekerja kurang daripada dua tahun.
Dalam pada itu, laporan itu menyebut peratusan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah yang berdaftar dengan PERKESO sebenarnya menurun sebanyak empat peratus pada 2019, daripada kalangan kumpulan ini, 84 peratus telah bekerja lebih dua tahun di syarikat yang sama.
Langkah Penjimatan Kos
Terdapat majikan yang melakukan beberapa langkah penjimatan kos seperti membuat pengurangan gaji terhadap pekerja lama yang bekerja lebih daripada 5 tahun kerana gaji mereka lebih 45% daripada gaji pekerja baru.
Ini adalah kerana majikan cuba untuk mengelakkan daripada memberhentikan pekerja yang sedia ada kerana kebanyakan pekerja mempunyai kemahiran bekerja yang diperlukan oleh majikan.
Peratusan Hilang Kerja Paling Tinggi
Negeri Selangor mempunyai kadar peratusan hilang kerja paling tinggi iaitu sebanyak 32% diikuti Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang dalam pelbagai jenis sektor pekerjaan. Jumlah besar peratusan hilang kerja bagi 5 negeri ini ialah sebanyak 79%.
Berikut adalah sektor yang terlibat dalam peratusan hilang kerja tinggi di Malaysia :
- Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan : Sektor pelancongan.
- Putrajaya : Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
- Sarawak : Sektor pembinaan.
- Pahang : Sektor lain yang tidak dikelaskan.
- Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu : Semua sektor pembuatan.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14.05 bilion untuk membiayai program ERP dan PSU di samping meningkatkan manfaat SIP serta untuk mengelakkan peratusan pemberhentian bekerja yang makin meningkat.
Perniagaan Tidak Beroperasi Sepanjang PKP
Terdapat 79% perniagaan tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh PKP dan menyebabkan hasil jualan menurun sepanjang tempoh PKP.
Manakala 7% perniagaan tidak dapat bertahan untuk lebih enam bulan pada rizab semasa kerana prospek tidak meningkat.
Lebih daripada 90 peratus majikan merasakan perniagaan mereka terjejas dengan krisis ekonomi yang dikaitkan dengan COVID-19. Daripada jumlah tersebut, 93% majikan merasakan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah untuk membantu mereka terus bertahan dalam perniagaan.
Sumber : BERNAMA