Apa Yang Seorang Pekerja Perlu Tahu Sekiranya dijangkiti COVID-19? Ini Garis Panduan Di Bawah Akta Kerja 1955

0

Apa yang seorang pekerja perlu tahu sekiranya dijangkiti COVIDー19?

Majikan yang gagal mematuhi garis panduan dalam pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian kerja boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kerja 1955.

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, garis panduan berhubung perintah kuarantin, pemberhentian kerja, kelayakan cuti dan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan pekerja sepanjang COVID-19 termaktub mengikut Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian menjelaskan, berdasarkan Seksyen 60F, majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

“Pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, hendaklah diberikan kemudahan bayaran tambahan, selain diarahkan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan atas pembiayaan majikan.

“Tempoh kelayakan cuti sakit bergaji dalam setahun adalah 14 hari jika tempoh bekerja kurang dua tahun, 18 hari jika bekerja antara dua hingga lima tahun dan 22 hari jika tempoh bekerja melebihi lima tahun.

“Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia adalah suatu kesalahan mengikut seksyen itu, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 60E (1B) pula, pekerja yang diberi perintah kuarantin atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh berkenaan.

Kementerian menegaskan, majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa perintah kuarantin atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah yang dikeluarkan pengamal perubatan berdaftar.

“Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja itu, ” katanya.

Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan tatacara untuk keharmonian perusahaan, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

“Selain itu, majikan juga boleh mengurangkan waktu bekerja harian, melaksanakan pemberhentian kerja sementara, misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan gaji berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula.

“Langkah terakhir yang boleh dilaksanakan selepas tindakan penjimatan kos lain sudah dilaksanakan ialah dengan mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat, ” katanya.

Kementerian juga meminta majikan merujuk garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sekiranya perlu mengurangkan tenaga kerja akibat kemerosotan dalam perniagaan.

“Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan pemberhentian pekerja termasuk secara sukarela, sementara atau pengurangan gaji.

“Kegagalan majikan mengikut undang-undang berdasarkan akta berkenaan boleh dikenakan hukuman, termasuk denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan, susulan penularan COVID-19, JTKSM menubuhkan bilik gerakan pemantauan pemberhentian pekerja di peringkat jabatan untuk merekod maklumat berhubung tindakan itu di Semenanjung dan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Katanya, pihak kementerian juga meminta majikan membuat saringan terhadap pekerja termasuk, membantu mengenal pasti sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang.

“Sekiranya ada, kerjasama majikan dipohon supaya mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut, ” katanya.

Sekiranya pihak majikan gagal mematuhi garis panduan ini, laporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja di talian 03-88865192.

GARIS PANDUAN DI BAWAH AKTA KERJA 1955

Anda boleh download garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia ini melalui pautan di bawah untuk rujukan anda dan juga majikan.

Apa Yang Seorang Pekerja Perlu Tahu Sekiranya dijangkiti COVID-19 Apa Yang Seorang Pekerja Perlu Tahu Sekiranya dijangkiti COVID-19 Apa Yang Seorang Pekerja Perlu Tahu Sekiranya dijangkiti COVID-19

Sumber

Leave a Reply