Info Kerjaya Malaysia

Apa Majikan Cari Dalam Cover Letter Anda?

1,267

Sama seperti resume dan Curriculum Vitae (CV), Cover Letter juga merupakan dokumen penting yang wajib anda bawa semasa menghadiri temuduga. Namun, fahamkah anda apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Cover Letter?

Kebanyakan graduan dan pencari kerja sering menyalah tafsir maksud sebenar Cover Letter. Ramai yang menganggap Cover Letter adalah merupakan ringkasan kepada resume anda. Pendapat ini salah sama sekali.

Jika Cover Letter adalah ringkasan kepada resume, ini bermaksud kedua-dua dokumen ini memaparkan maklumat yang sama. Jadi, sia-sia sahaja majikan mengarahkan anda membawa kedua-duanya.

Kesilapan yang dilakukan ini menyebabkan penemuduga tidak akan melihat Cover Letter anda. Beliau akan terus meletak tepi Cover Letter yang anda bawa itu kerana maklumat yang diinginkannya sudah tercatat dalam resume anda.

Untuk makluman, Cover Letter merupakan antara dokumen yang paling penting dan harus diletakkan paling atas dalam penyusunan dokumen sebelum menghadiri temuduga. Penemuduga akan melihat Cover Letter anda terlebih dahulu. Sekiranya maklumat yang dinyatakan dalam Cover Letter itu menarik perhatiannya, barulah dia akan beralih ke resume pula.

Jadi, dapatlah anda lihat di sini betapa pentingnya Cover Letter yang baik dan anda boleh bayangkan sendiri bagaimana jika anda tersalah langkah dalam menulis Cover Letter, pastinya akan menjejaskan peluang anda untuk diterima bekerja di tempat tersebut.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan butiran-butiran yang wajib ada dan pasti akan dilihat oleh penemuduga semasa temuduga. Pastikan kesemua butiran-butiran ini ada untuk memastikan Cover Letter anda itu menarik dan berkualiti. Berikut merupakan butiran-butiran tersebut.

PENCAPAIAN PROFESIONAL ANDA

Pastikan anda highlight pencapaian yang berjaya anda peroleh sepanjang tempoh anda bekerja sebelum ini. Penemuduga ingin melihat senarai pencapaian anda contohnya seperti kenaikan pangkat anda dalam tempoh yang singkat, memperoleh anugerah daripada tempat kerja lama anda atau kemahiran unik lain yang ada pada diri anda.

Anggaplah Cover Letter ini sebagai medium untuk memaklumkan kepada penemuduga tentang pencapaian terbaik anda.

TEMPOH ANDA BEKERJA

Inilah sebab utama Cover Letter diletakkan di bahagian paling hadapan dalam senarai susunan dokumen yang wajib dibawa semasa temuduga. Penemuduga ingin tahu tempoh berapa lama anda bekerja contohnya bermula tahun bila hingga tahun bila. Semua ini perlu dimasukkan dalam Cover Letter anda.

JAWATAN YANG DIPOHON DAN NAMA SYARIKAT

Butiran ini sangat-sangat wajib ditulis dalam Cover Letter anda. Butiran ini sangat mudah untuk ditulis tetapi malangnya, berdasarkan pengalaman yang dikongsikan oleh penemuduga sebelum ini, majoriti calon temuduga tidak meletakkan butiran ini dalam Cover Letter mereka.

Jika tidak menulis butiran ini, penemuduga akan menganggap anda tidak ambil tahu tentang jawatan yang anda pohon serta nama syarikat mereka. Bukan itu sahaja, dengan menulis butiran ini, anda akan dilihat sebagai meletakkan effort yang tinggi kerana anda tidak menggunakan Cover Letter yang sama semasa menjalani temuduga di tempat lain.

TULIS PERKARA BAIK SEBAGAI MEMPROMOSI DIRI ANDA

Sebenarnya, penemuduga ingin mencari seorang pekerja yang berkualiti dan mampu menjadi aset kepada syarikat. Nilai-nilai yang berkaitan dengan perkara ini akan dicari oleh penemuduga dalam Cover Letter anda.

Jadi, pastikan anda tulis perkara-perkara yang baik tentang diri anda dan menampakkan anda sebagai seorang pekerja berkualiti serta mampu menjadi aset buat syarikat tersebut. Harus diingat juga bahawa Cover Letter perlulah ringkas dan tidak boleh panjang seperti karangan.

Semoga dengan perkongsian ini dapatlah dijadikan panduan untuk anda sediakan Cover Letter yang terbaik untuk diserahkan kepada penemuduga. Pastikan kesemua butiran yang disenaraikan tercatat dalam Cover Letter anda. Semoga berjaya!

close-image