Mohon Pertukaran Ujrah PTPTN & Tangguh Bayaran Balik

1,985

Semua peminjam konvensional yang belum membuat pertukaran Ujrah adalah layak memohon pertukaran Ujrah, termasuk peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Peminjam yang mempunyai lebih daripada satu pinjaman diwajibkan membuat penggabungan pinjaman untuk permohonan pertukaran Ujrah

Berikut adalah cara peminjam PTPTN boleh memohon pertukaran ujrah dan membuat penangguhan bayaran balik PTPTN.

CARA MEMOHON PERTUKARAN UJRAH

Sejak Disember 2008, PTPTN telah menukar bentuk pinjaman konvensional kepada Pinjaman Ujrah yang mematuhi syariah.

Sekiranya peminjam PTPTN mahu menjadikan pinjaman mereka patuh syariah, peminjam harus memohon pertukaran pinjaman daripada konvensional kepada Pinjaman Ujrah.

Pertukaran ini sebenarnya boleh menjimatkan kos pembayaran balik PTPTN antara 47% hingga 49%.

Proses Pertukaran Ujrah

Proses pertukaran ini akan melibatkan dua peringkat iaitu:

  1. Permohonan pinjaman sekali lagi dalam bentuk Pinjaman Ujrah. Peminjam boleh mengunjungi mana-mana kaunter PTPTN seluruh negara untuk tujuan ini. Dokumen tawaran baharu untuk pertukaran akan diberikan dan perlu dikembalikan sebelum tamat tempoh sah laku iaitu dalam masa 14 hari.
  2. Tandatangan dokumen pinjaman baharu dengan jumlah pinjaman yang baharu dan Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu juga.

Ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Muat turun Borang Kemas Kini Maklumat di portal rasmi PTPTN (http://www.ptptn.gov.my) atau boleh ke mana-mana kaunter PTPTN untuk ambil borang.
  2. Hantar Borang Kemas Kini Maklumat ke kaunter PTPTN.
  3. Peminjam akan diberikan 2 set dokumen tawaran Ujrah. Setiap dokumen ini perlu dilekatkan setem hasil RM10.
  4. Serah semula dokumen lengkap di kaunter PTPTN atau poskan.
  5. Bayaran balik boleh mula dibuat mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu.

PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PTPTN

Bayaran balik pinjaman PTPTN adalah bermula pada bulan ke-13 selepas tamat pengajian. Dalam membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN, peminjam perlu membayar pokok pinjaman, kos upah, perlindungan takaful, cukai hasil dan lain-lain pembayaran seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran Pinjaman.

Penangguhan bayaran balik PTPTN adalah diberikan kepada empat golongan sahaja iaitu:

  1. Mereka yang tamat pengajian, kemudian sambung belajar lagi sepenuh masa. Tempoh penangguhan ialah sehingga pengajian terkini tamat.
  2. Mereka yang mengikuti kursus berkembar dengan institusi luar negara (2+1 atau 2+2). Seperti yang diketahui, mereka ini mendapat pinjaman PTPTN untuk tempoh di dalam negara sahaja, tetapi tidak di luar negara. Jadi sepanjang tempoh belajar di luar negara, mereka diberi tangguh.
  3. Mereka yang terpaksa ‘extend’ atau mengambil semester tambahan/lanjutan. Tempoh penangguhan hanya mengikut semester yang diizinkan oleh universiti masing-masing.
  4. Tidak bekerja. Tempoh penangguhan boleh dimohon setiap 6 bulan, selama 24 bulan keseluruhan. Jadi peminjam tidak boleh leka dan berasa selesa tetapi tetap perlu berusaha mencari pekerjaan dan membayar pinjaman.

Cara Memohon Penangguhan Bayaran Balik PTPTN

Terdapat dua cara untuk memohon penangguhan bayaran pinjaman PTPTN iaitu:

  • Tulis surat rasmi kepada PTPTN untuk meminta penangguhan, atau
  • Muat turun borang penangguhan bayaran balik di bawah dan hantar ke kaunter PTPTN daerah anda.

BORANG PENANGGUHAN BAYARAN BALIK

Dokumen Yang Diperlukan

Dalam membuat permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman, beberapa dokumen sokongan diperlukan iaitu:

  • Mereka yang menyambung pengajian, sertakan surat tawaran pengajian terkini dari IPT tempat sambung pengajian. Surat ini mesti menyatakan tarikh sebenar tamat pengajian;
  • Mereka yang belum mendapat kerja, sediakan surat akuan sumpah tidak bekerja;
  • Sertakan juga penyata KWSP terkini atau surat pengesahan KWSP menunjukkan peminjam belum mencarum.

Permohonan yang tidak lengkap dengan dokumen sokongan tidak akan diproses.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pertukaran Ujrah dan penangguhan bayaran balik PTPTN, anda boleh rujuk portal rasmi PTPTN.

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image