Info Kerjaya Malaysia

Tahu Tak Anda Boleh Ubah Resume Menjadi CV? Ini Cara Paling Mudah

8,174

Setiap permohonan kerja akan memerlukan anda serahkan maklumat tentang diri anda kepada syarikat yang dimohon. Kebiasaannya setiap pemohon akan diminta untuk menghantar resume atau CV di samping dokumen permohonan kerja. Namun kebanyakan daripada kita masih tidak boleh membezakan antara resume dan CV dengan tepat.

Ramai yang hanya menyediakan resume untuk memohon kerja tetapi tidak menyediakan CV sekali. Tahu tak sebenarnya ada cara mudah untuk anda mengubah resume sedia ada kepada CV?

Baca: Perhatian Pencari Kerja! Ini Cara Menulis Winning Resume

Berikut adalah perkongsian mengenai perbezaan utama resume dan CV serta cara mengubah resume menjadi CV dengan mudah.

PERBEZAAN ANTARA RESUME DAN CV

Resume dan CV mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaitu untuk menyampaikan maklumat mengenai diri kita. Tetapi ada beberapa aspek yang membezakan resume dan CV iaitu:

  • Cara susunan
  • Waktu digunakan
  • Tujuan penghasilan
  • Panjang penulisan
  • Komponen biasa dalam penulisan

Cara Susunan

Resume adalah dokumen ringkas yang menumpukan pengisian tentang kemahiran dan pengalaman kerja calon manakala CV adalah dokumen yang lebih panjang yang menumpukan pada pencapaian akademik, penyelidikan dan penerbitan calon.

Calon biasanya akan diminta hantar salah satu dokumen ini dalam membuat permohonan kerja. Namun ada juga syarikat yang meminta calon menghantar kedua-duanya.

Waktu Resume & CV Digunakan

Resume biasanya digunakan ketika awal-awal permohonan kerja iaitu sebagai pengenalan diri kita secara ringkas kepada syarikat.

CV pula digunakan apabila syarikat yang dimohon minta kita menghantarnya untuk ketahui lebih lanjut mengenai pencapaian kita dalam akademik, kerjaya dan sebagainya.

Tujuan Penghasilan Resume & CV

Tujuan penghasilan resume adalah untuk memberi gambaran ringkas mengenai kemahiran dan pengalaman calon. Majikan biasanya akan melihat kelayakan calon dari segi pengalaman bekerja dan kemahiran untuk memastikan calon betul-betul layak dalam posisi yang ditawarkan.

CV pula adalah untuk majikan mengetahui lebih lanjut mengenai pencapaian dan anugerah yang pernah diterima calon atau penyelidikan yang pernah dilakukan. Maklumat ini adalah sebagai ‘penambah perasa’ untuk majikan menilai kelayakan calon.

Panjang Penulisan

Biasanya resume ditulis dalam satu muka surat sahaja. Namun jika maklumat pengalaman atau kemahiran yang dimasukkan adalah banyak, calon boleh mengehadkan penulisan kepada 2 muka surat.

Baca: 5 Soalan Yang Confirm Ditanya Semasa Temuduga Kerja Kerajaan & Swasta

Panjang penulisan CV pula adalah berdasarkan berapa banyak maklumat yang ingin dimasukkan. Kebiasaannya CV ditulis dalam 2 muka surat atau lebih.

Komponen Biasa Dalam Penulisan

Resume dan CV adalah ditulis secara tersusun mengikut kategori. Antara komponen biasa yang ada dalam resume adalah:

  • Tajuk
  • Pendidikan
  • Pengalaman Kerja
  • Pengalaman Sukarela
  • Kemahiran

Kategori biasa yang ada dalam CV adalah:

  • Tajuk
  • Pendidikan
  • Pengalaman kerja
  • Anugerah & pencapaian
  • Penyelidikan
  • Sijil dan lesen
  • Pengalaman Sukarela
  • Rujukan

Baca juga: Maklumat Yang Perlu Dimasukkan Dalam Resume Mengikut Struktur Dan Turutan Yang Betul

 

MENGUBAH RESUME MENJADI CV

Untuk mengubah resume yang sedia ada menjadi CV, ikuti langkah-langkah berikut.

1 Salin Tajuk Resume

Anda boleh gunakan tajuk resume untuk masukkan di bahagian atas iaitu tajuk CV. Sesetengah syarikat meminta calon untuk memasukkan maklumat mengenai jantina dan tarikh lahir. Periksa dengan pengurus pengambilan pekerja untuk ketahui jika mereka memerlukan maklumat tambahan yang perlu dimasukkan bahagian tajuk CV.

2 Masukkan Pendidikan

Masukkan maklumat mengenai pendidikan anda beserta sijil pencapaian yang anda perolehi. Dalam setiap kolej atau universiti yang anda senaraikan, masukkan sekali tahap pencapaian, lokasi universiti dan tarikh anda graduasi. Anda juga boleh masukkan anugerah penghormatan yang anda peroleh.

3 Senarai Pengalaman Kerja

Masukkan pengalaman kerja anda yang relevan dengan posisi kerja yang dimohon. Sertakan sekali kemahiran yang anda gunakan untuk kemajuan prestasi semasa bekerja. Dalam setiap pengalaman kerja anda perlu sertakan juga tarikh bekerja dan lokasi syarikat bersama-sama nama syarikat dan jawatan yang dipegang.

4 Masukkan Anugerah & Penghargaan

Senaraikan pencapaian akademik, anugerah profesional dan penghargaan yang pernah anda capai. Sertakan sekali institusi dan organisasi yang memberi anugerah atau penghargaan tersebut beserta tarikh dan sedikit penerangan mengenai anugerah atau penghargaan tersebut.

5 Masukkan Penyelidikan

Berikan maklumat mengenai sebarang penyelidikan yang pernah anda lakukan. Maklumat ini penting bagi pemohon yang memohon jawatan berdasarkan penyelidikan dalam bidang kesihatan atau akademik. Sertakan nama organisasi yang anda kaji, tarikh penyelidikan dan sebarang penemuan yang berkaitan.

6 Senaraikan Sijil & Lesen

Senaraikan sebarang lesen atau sijil profesional yang anda pegang berkaitan dengan posisi yang anda mohon. Contohnya jika anda memohon jawatan jururawat, dan anda pernah mengikuti kursus khas jururawat. Masukkan maklumat sijil yang anda peroleh daripada kursus tersebut.

7 Pengalaman Sukarela

Sertakan juga senarai pengalaman sukarela yang pernah anda sertai ke dalam CV anda. Anda boleh masukkan maklumat yang sama dari resume untuk bahagian ini.

8 Rujukan

Senaraikan rujukan profesional di bahagian bawah CV anda. Rujukan ini adalah sebagai persediaan sekiranya pengurus pengambilan pekerja ingin bercakap dengan majikan lama anda. Untuk rujukan, anda perlu masukkan nama, alamat email, nama syarikat dan nombor telefon majikan di tempat kerja lama anda.

Baca juga: “Fresh Graduate Tanpa Pengalaman Kerja” ~ Isi Maklumat Ini Dalam Resume Anda

Secara ringkasnya, untuk mengubah resume menjadi CV, anda boleh masukkan maklumat yang terdapat dalam resume ke dalam CV anda seperti tajuk, pendidikan, pengalaman kerja dan pengalaman sukarela. Manakala maklumat lain yang tidak ada dalam resume perlu anda tambah dalam CV supaya CV anda menjadi lebih lengkap dan memenuhi kehendak majikan.

Tidak susah sebenarnya nak buat CV ini, apa yang anda perlu tahu adalah komponen yang perlu ada serta cara susunan mengikut kategori yang tepat. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda sebagai panduan untuk membuat CV.

close-image