Boleh Pandu Kenderaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Mati Dengan Syarat Insuran Kenderaan Masih Berkuatkuasa

1,545

Orang awam dibenarkan memandu kenderaan jika Lesen Kenderaan Motor (LKM) ataupun lesen memandu telah tamat tempoh dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, JPJ telah membenarkan Pos Malaysia untuk menjalankan urus niaga pembaharuan lesen memandu dan LKM bagi kenderaan persendirian.

“JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urus niaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga sahaja,” menurut kenyataan itu.

Pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

“Bagi menyokong kelangsungan ekonomi, pembukaan urus niaga berperingkat ini adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja.

“Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian,” menurut JPJ. – Bernama

Sumber

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image