Info Kerjaya Malaysia

Presiden CUEPACS, Penjawat Awam Jangan Main Tik Tok Ketika Bekerja

1,123

Penjawat Awam Jangan Main Tik Tok Ketika Bekerja

Siapa yang tidak tahu aplikasi Tik Tok sekarang ini. Kanak-kanak seumur 3 tahun pun sudah tahu apa itu Tik Tok dan ia adalah trend terkini untuk berhibur selain media sosial lain yang sangat terkenal.

Namun ia menjadi kebimbangan kerana terdapat sebilangan penjawat awam yang meluangkan masa untuk bermain Tik Tok ketika menjalankan tugas.

Sehubungan dengan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat mengingatkan semua penjawat awam khususunya badan beruniform atau yang memakai pakaian rasmi jabatan agar tidak menggunakan media sosial atau Tik Tok untuk berhibur ketika sedang bertugas atau berada di luar tugas.

“Didapati terdapat penjawat awam yang memakai uniform jabatan masing-masing dan merakam video yang tidak senonoh, jelek serta berunsur negatif sebelum dimuat naik ke platform media sosial peribadi seperti TikTok, Instagram, YouTube dan Facebook”.

Presiden CUEPACS, Penjawat Awam Jangan Main Tik Tok Ketika Bekerja

Ini disebabkan kerana video yang agak tidak senonoh yang dirakam ketika berpakaian uniform menjadikan imej jabatan turut terpalit dengan perkara yang negatif.

Ia merupakan aktiviti yang tidak sepatutnya dilakukan terutama jika masih dalam waktu bekerja, malah aktiviti atau tabiat itu juga tidak wajar dilakukan walaupun mereka di luar waktu bekerja kerana boleh menimbulkan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam.

“Masyarakat di luar sana tidak mengetahui atau mengendahkan pun jika kita memberitahu rakaman video yang dimuat naik itu adalah di luar waktu kerja.

“Hal ini akan menimbulkan persepsi penjawat awam banyak melakukan aktiviti lain ketika waktu bekerja, sekaligus menjejaskan reputasi serta imej perkhidmatan awam itu sendiri.”

Setiap uniform atau pakaian rasmi jabatan mempunyai etika pemakaian masing-masing dan perlu dipatuhi serta dihormati tidak kira polis, tentera, penguat kuasa, jururawat, doktor atau penjawat awam biasa yang memakai baju korporat.

Perkara ini juga tertakluk kepada semua penjawat awam lain walaupun tidak mempunyai atau memakai uniform rasmi jabatan. Sekiranya masih bertugas, elakkan daripada menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi terutama merakam aktiviti yang dilakukan dan memuat naiknya untuk tontonan orang ramai.

Berharap Nasihat Diterima Baik

Pihak Cuepacs juga berharap agar nasihat berkaitan penggunaan media sosial ketika bekerja diterima dengan baik oleh penjawat awam di semua jabatan dan agensi kerajaan untuk kebaikan bersama.

“Dalam meraikan perkembangan media sosial, kita haruslah menjadi contoh kepada masyarakat awam dalam menggunakannya untuk tujuan yang baik. Apa yang lebih penting adalah khidmat kepada negara dan rakyat.”

Sumber : Sinar Harian

close-image