Info Kerjaya Malaysia

Apa Nak Buat Jika Penemuduga Lebih Muda Daripada Anda?

687

Buat sesetengah individu, temuduga merupakan sesuatu yang sangat ditakuti. Hal ini kerana mereka perlu berdepan dengan pelbagai soalan yang akan ditanya oleh penemuduga. Tambahan pula jika penemuduga itu merupakan seorang yang sangat berpengalaman dan cerewet dalam meminta jawapan daripada anda.

Namun, apa pula reaksi anda sekiranya penemuduga itu jauh lebih muda daripada anda? Sudah pasti rasa gementar dan gugup anda sedikit hilang sebaik sahaja melihat penemuduga itu kerana anda merasakan penemuduga itu perlu menghormati anda disebabkan faktor usia.

Jika anda ditemuduga oleh seorang penemuduga yang lebih muda, itu merupakan rezeki buat anda. Namun, harus diingat bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian jika situasi ini berlaku.

Kebanyakan calon temuduga yang ditemuduga oleh penemuduga muda sering mengabaikan beberapa aspek dan yang paling utama adalah aspek hormat. Jadi jangan buat silap.

Jangan sesekali merasakan penemuduga itu perlu menghormati anda sebaliknya andalah yang perlu menghormati penemuduga itu terlebih dahulu kerana walaupun usianya muda tetapi tarafnya tetap sama iaitu seorang penemuduga serta keputusan untuk memilih anda bekerja terletak di tangannya.

Anda tidak perlu risau jika terpaksa berhadapan dengan penemuduga yang lebih muda daripada anda. Pihak kami akan kongsikan beberapa tips tentang apa yang anda perlu lakukan jika penemuduga lebih muda daripada anda dalam artikel ini. Berikut merupakan perkara-perkara yang boleh anda lakukan.

JANGAN RENDAHKAN TARAF PENEMUDUGA TERSEBUT

Penemuduga itu tetap mempunyai taraf serta hak yang sama sebagai seorang penemuduga walaupun umurnya lebih muda. Oleh yang demikian, anda haruslah sentiasa menghormatinya dan tetap menganggapnya sebagai seorang yang sangat penting dalam memberikan anda kerja.

Pertama, ucapkan salam hormat sebaik sahaja anda masuk ke dalam bilik temuduga. Jangan sesekali abaikan salam hormat ini untuk memastikan penemuduga itu memberikan reaksi positif kepada anda. Seperti mana anda menghormati penemuduga yang lebih tua daripada anda, begitu juga penemuduga tersebut memerlukan hormat daripada anda.

Tanamkan perkara ini dalam diri anda. Walaupun usia penemuduga itu muda namun beliau tetap penemuduga. Beliau akan tetap menyoal anda, menilai anda dan yang paling penting beliaulah yang akan membuat keputusan sama ada menerima anda bekerja atau tidak.

Terdapat banyak rungutan daripada penemuga sebelum ini yang memaklumkan bahawa mereka dilayan dengan tidak baik oleh calon temuduga yang lebih berusia berbanding mereka kerana mempunyai persepsi orang muda perlu menghormati orang tua. Tinggalkan persepsi tersebut seketika kerana anda sekarang sedang berhadapan dengan sesuatu yang melibatkan periuk nasi anda.

TINGGALKAN KEPENTINGAN UMUR DI RUMAH

Jika anda benar-benar mahukan pekerjaan tersebut, pastikan anda memenangi hati penemuduga terlebih dahulu. Itu merupakan tip paling popular untuk individu yang ingin menghadiri temuduga.

Jadi, walaupun penemuduga itu muda, anda tetap perlu memenangi hatinya dengan kata-kata yang baik serta menunjukkan kebolehan anda. Penemuduga itu mungkin berumur beberapa tahun lebih muda daripada anda malah ada juga situasi di mana anda mungkin akan ditemuduga oleh seorang penemuduga yang umurnya sebaya anak-anak anda.

Di sinilah selalunya masalah akan timbul. Anda berkemungkinan akan melayan penemuduga tersebut sepertimana anda melayan anak-anak anda. Hal ini perlu dielakkan. Gunakan bahasa yang baik dengan penemuduga itu dan bukannya gunakan bahasa seperti anda gunakan dengan anak-anak anda. Tinggalkan seketika kepentingan umur anda.

ANDA BOLEH BERFIKIR TENTANG PERBEZAAN UMUR TETAPI JANGAN SEBUT DI HADAPAN PENEMUDUGA

Tidak dapat dinafikan sebenarnya penemuduga anda juga berasa sedikit kekok untuk menemuduga anda yang lebih tua daripadanya. Sudah menjadi lumrah buat seseorang yang lebih muda berasa kurang senang untuk menilai seseorang yang lebih tua daripadanya.

Anda mungkin akan terfikir perkara ini malah anda akan lihat sendiri semasa temuduga itu. Namun, jangan sesekali sebutkan tentang kejanggalan itu dan jangan juga sebutkannya di hadapan penemuduga tersebut. Sebagai contoh, jangan pernah berkata begini kepada penemuduga. “Encik jangan risau. Walaupun saya lebih tua namun saya tetap akan menghormati encik sebagai seorang penemuduga.”

Memanglah tujuan anda berkata begini untuk memaklumkan kepada penemuduga tersebut bahawa anda menghormatinya tetapi dengan kata-kata anda itu akan menyebabkan penemuduga tersebut lebih janggal dan mungkin akan terasa. Buruk padahnya jika penemuduga terasa hati!

FOKUS KEPADA PENGALAMAN KERJA ANDA

Ini merupakan kelebihan buat anda. Penemuduga anda mungkin tidak mempunyai pengalaman bekerja seluas anda kerana faktor usianya. Jadi anda perlulah memanfaatkan kelebihan ini dengan baik.

Sungguhpun kesemua pengalaman kerja anda telah tertulis dalam resume yang anda serahkan kepada penemuduga namun ada baiknya jika anda terangkan pengalaman anda kepadanya. Hal ini kerana penemuduga lebih gemar mendengar sendiri pengalaman anda berbanding membacanya di resume. Tambahan pula penemuduga itu kurang pengalaman berbanding anda, mestilah beliau lebih berminat untuk mendengarnya.

Penerangan anda tentang pengalaman kerja akan mendatangkan reaksi positif daripada penemuduga. Beliau semestinya akan berasa yakin dengan anda untuk bekerja di tempat kerja itu kerana anda suah mempunyai pengalaman bekerja. Namun, anda jangan sesekali menipu penemuduga tersebut. Katakan sahaja secara jujur tentang pencapaian anda sepanjang bekerja sebelum ini.

TANYA SOALAN DAN DENGAR JAWAPAN DENGAN BAIK

Untuk menghadiri temuduga, anda sebenarnya bukan sahaja perlu membuat persediaan jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya oleh penemuduga malah anda juga perlu bersedia dengan soalan-aoalan yang unik serta menarik untuk ditanyakan kepada penemuduga.

Soalan yang ditanyakan mestilah berkaitan dengan bidang kerja yang anda mohon dan jangan sesekali menyimpang. Kebiasaannya, selepas bertanya soalan berkaitan kerja yang anda mohon, penemuduga akan menanyakan soalan ini pula. “Adakah anda ada soalan untuk saya?”

Jangan sesekali jawab “tidak ada”. Anda akan dilabel sebagai kurang berminat dengan pekerjaan itu. Calon pekerja yang baik perlu bersikap ingin tahu dan akan bertanya pelbagai soalan berkenaan dengan kerjaya yang dipohon itu. Setelah bertanya soalan, dengarlah jawapan yang diberikan oleh penemuduga itu dengan baik.

TINGKATKAN KEMAHIRAN ANDA DALAM PELBAGAI BIDANG

Kemahiran sangat penting dalam mencari kerja pada hari ini. Ini juga mungkin merupakan satu kelebihan buat anda kerana anda lebih berpengalaman daripada penemuduga. Lebih pengalaman bermakna lebih banyak kemahiran yang anda kuasai. Ketengahkan kemahiran yang anda telah kuasai itu semasa temuduga. Hal ini akan dapat menarik perhatian penemuduga.

Namun, salah satu bidang yang mungkin anda kurang penguasaan berbanding penemuduga adalah kemahiran mengendalikan komputer dan internet seperti penggunaan Google Drive kerana orang muda lebih berkemahiran dalam perkara ini. Jadi, sebelum menghadiri temuduga, pastikan anda telah belajar tentang perkara ini dan kuasailah kemahiran ini.

KONGSI PENGALAMAN ANDA YANG PENEMUDUGA TIDAK ADA

Memandangkan anda lebih berpengalaman daripada penemuduga, adalah baik sekiranya anda berkongsi pengalaman anda dengan penemuduga itu. Ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk memastikan penemuduga tahu sejauh mana kebolehan yang anda miliki.

Jadi, tunjukkan kebolehan yang anda ada berdasarkan pengalaman kerja anda. Nescaya penemuduga tersebut akan tertarik dengan anda kerana beliau tidak memiliki kebolehan begitu.

Sebagai kesimpulannya, anda tidak perlu terlalu ghairah jika terpaksa berhadapan dengan penemuduga yang lebih muda kerana banyak perkara yang perlu anda titikberatkan.

Perkara yang paling penting adalah tolong jaga tutur kata anda semasa temuduga walaupun penemuduga itu lebih muda. Sentiasa letakkan dalam diri anda bahawa taraf penemuduga tetap tinggi walaupun umur mereka muda daripada anda. Selamat berjaya kami ucapkan!

close-image