Info Kerjaya Malaysia

Penangguhan Pembayaran PTPTN Dan Kelebihan Lain Yang Bakal Anda Perolehi Daripada Kerajaan Baru Malaysia

328

Sejarah telah tercipta pada tanggal 9 Mei 2018 yang lalu apabila Pakatan Harapan buat pertama kalinya berjaya menguasai tampuk kepimpinan negara. Ikon negara yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat merangkap pemimpin Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dipilih untuk sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Dengan kemenangan ini, maka kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan segala janji yang telah termaktub dalam manifesto mereka. Berikut antara janji dalam manifesto kerajaan baru Pakatan Harapan yang bakal rakyat nikmati sekiranya berjaya dilaksanakan.

PENANGGUHAN PEMBAYARAN PTPTN

Salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya menarik perhatian mahasiswa adalah berkaitan isu pembayaran PTPTN.

Apa yang menariknya adalah pinjaman PTPTN yang anda ambil akan ditangguhkan pembayarannya. Anda tidak perlu bersusah payah untuk membayar segera hutang tersebut. Kerajaan faham gaji anda pada peringkat permulaan hanya cukup untuk menampung keperluan anda.

Oleh sebab itulah, kerajaan Pakatan Harapan menetapkan bahawa anda hanya perlu membayar hutang PTPTN semula setelah gaji kasar bulanan anda mencapai jumlah RM4,000.

Selain itu, pinjaman PTPTN juga akan dilupuskan dan ditetapkan sebagai biasiswa jika anda memperoleh keputusan yang cemerlang. Pelupusan hutang PTPTN juga diberikan kepada pelajar miskin. Bukan itu sahaja, kerajaan Pakatan Harapan juga mengambil keputusan untuk memansuhkan dasar senarai hitam kepada peminjam yang gagal menunaikan bayaran.

Antara kelebihan lain buat pemuda dan graduan adalah membantu pemuda mendapatkan pekerjaan. Sebanyak 1 juta pekerjaan bakal dibuka untuk rakyat Malaysia. Malah, pekerja asing juga akan dikurangkan dan peluang pekerjaan tersebut dibuka buat warganegara Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan prihatin dengan nasib warganegara Malaysia tidak seperti kerajaan sebelum ini yang lebih mementingkan pekerja asing.

FAEDAH PENGANGKUTAN

Dari segi pengangkutan pula, rakyat turut akan menerima pelbagai faedah. Pertamanya adalah berkaitan dengan pembayaran dan kutipan tol. Kerajaan Pakatan Harapan faham rakyat sangat terbeban dengan pembayaran tol. Oleh itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula kutipan dan pembayaran tol di dalam negara.

Selain tol, kenaikan harga minyak juga sangat membebankan rakyat. Jadi, untuk meringankan beban tersebut, kerajaan akan menurunkan harga minyak serta memberikan subsidi minyak kepada pemilik motosikal bawah 125cc dan kereta bawah 1300cc pada setiap bulan. Kerajaan juga bakal menghadiahkan pas bulanan RM100 untuk semua pengangkutan awam.

KHAS UNTUK WANITA

Wanita merupakan permata negara dan turut menyumbang kepada kemajuan negara. Atas dasar itu, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk melaksanakan beberapa inisiatif khas buat para wanita. Pertama, wanita akan mendapat gaji yang sama rata. Tiada lagi penindasan dari segi pembayaran gaji kepada wanita.

Seterusnya, skim KWSP juga dicarum oleh suami untuk wanita pada kadar 2%. Wanita akan mendapat faedah daripada caruman suami mereka. Selain itu, kebajikan suri rumah juga turut dititikberatkan. Kerajaan bakal mewujudkan tabung KWSP khas buat suri rumah. Caruman ini akan dibuat oleh suami sebanyak 2% dan kerajaan akan menambah sebanyak RM50 dalam caruman ini.

PENDAPATAN RAKYAT

Kerajaan Pakatan Harapan turut prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat Malaysia yang belakangan ini kian bermasalah hasil daripada keadaan ekonomi yang tidak menentu. Jadi, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan suruhanjaya peluang pekerjaan saksama bagi menjaga kepentingan ekonomi rakyat Malaysia.

Kelebihan lain ialah kadar gaji minimum bagi pekerja di Sabah dan Sarawak turut dinaikkan agar setara dengan kadar gaji minimum di semenanjung. Berita paling menarik buat pekerja adalah kadar gaji minimum dinaikkan hingga RM1,500.

Sudah terbukti bahawa kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan sangat prihatin dan menjaga kebajikan anda. Tahniah buat warga Malaysia yang telah memilih kerajaan ini. Nikmatilah segala kelebihan yang bakal diberikan kepada anda hasil daripada kecerdikan anda memilih tampuk kepimpinan negara.

close-image