Kerja Sendiri Juga Boleh Carum PERKESO MATRIX. Banyak Faedah Ramai Tak Tahu
Kerja Sendiri Pun Ada Caruman PERKESO
Jika sebelum ini golongan bekerja sendiri hanya tahu mengetahui caruman KWSP seperti i-Saraan untuk simpanan masa hadapan, PERKESO juga menyediakan satu bentuk caruman untuk anda yang bekerja sendiri untuk memberikan perlindungan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Jadi, jom kita manfaatkan kemudahan yang diberikan ini dan ikuti cara-cara untuk mencarum seperti yang akan dikongsikan ini.
19 Sektor Di Bawah Skim Perlindungan
Jika sebelum ini iPERKESO diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang seperti pemandu bas, eHailing dan pemandu teksi, ia telah diperluaskan kepada 19 sektor seperti :
- Pemprosesan data
- Premis penginapan
- Makanan
- Pembuatan
- Pembinaan
- Penjaja
- Penjagaan perawatan dan pemulihan Kesihatan
- Teknologi maklumat
- Pertanian
- Penternakan
- Perhutanan
- Perikanan
- Perkhidmatan isi rumah
- Kesenian
- Perkhidmatan sokongan
- Perkhidmatan profesional
- Pengangkutan barangan dan makanan
- Perniagaan online
- Ejen
Anda akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.
Baca juga : Elaun Latihan RM4000 Bagi Penganggur Boleh Dituntut Dari PERKESO
Faedah Caruman
Terdapat beberapa faedah yang boleh diperolehi sekiranya anda membuat caruman melalui PERKESO MATRIX ini. Antara faedah yang boleh didapati ialah :
Faedah Hilang Upaya Kekal : Individu yang mencarum hilang keupayaan secara kekal hingga menjejaskan keupayaannya untuk melakukan pekerjaan. Tuntutan boleh dilakukan selepas tamat tempoh cuti sakit.
Elaun Layanan Sentiasa : Individu pencarum bekerja sendiri yang tidak mempunyai daya pada tahap kritikal disebabkan bencana pekerjaan sendiri sehingga memerlukan bantuan daripada individu lain.
Faedah Hilang Upaya Sementara : Bayaran dibuat kepada individu bekerja sendiri yang menjadi pencarum dan ditimpa bencana pekerjaan sendiri sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan doktor. Tempoh cuti sakit harus sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan atau bencana berlaku.
Faedah Orang Tanggungan : Dibayar kepada individu yang menjadi tanggungan yang layak sekiranya pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri. Individu yang menjadi tanggungan yang layak adalah balu atau duda dan anak berusia 21 tahun ke bawah.
Sekiranya tiada balu, duda mahupun anak, ibu atau bapa, ataupun adik-beradik yang berusia di bawah 21 tahun serta datuk nenek menjadi individu layak untuk menerima faedah ini. Faedah ini akan diterima sepanjang hayat bagi balu, duda, ibu/bapa atau datuk/nenek.
Faedah Pengurusan Mayat : Sejumlah RM2,000 akan dibayar kepada individu yang menjadi tanggungan yang layak jika pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri atau semasa menerima faedah hilang upaya.
Kemudahan Pemulihan Jasmani Atau Vokasional : Pencarum akan menerima kemudahan seperti:
- Kemudahan pemulihan dan vokasional secara percuma
- Pemulihan jasmani seperti fisioterapi, pembedahan rekonstruktif, anggota tiruan, rawatan hemodialisis, kerusi roda, tilam khas, tongkat dan lain-lain
- Kemudahan vokasional seperti latihan dalam bidang elektrikal, jahitan, membaiki radio dan lain-lain
Faedah Pendidikan : Merupakan satu kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa yang diberikan kepada anak pencarum skim MATRIX ini, sekiranya pencarum mati akibat bencana pekerjaan sendiri atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Baca ini : Korang Boleh Claim Duit MC atau Cuti Sakit Dari PERKESO. Ini Cara-cara Nak Buat Tuntutan
Kelayakan Membuka Akaun iPERKESO
- Warganegara Malaysia dengan menggunakan Kad Pengenalan .
- Pemastautin tetap.
- Menjalankan pekerjaan sendiri.
Cara Mendaftar Kali Pertama
- Klik sini : PERKESO MATRIX
- Klik KALI PERTAMA? DAFTAR AKAUN MATRIX.
- Isikan semua maklumat.
- Klik pada kotak SAYA BERSETUJU setelah membaca TERMA DAN SYARAT serta kotak SAYA BUKAN ROBOT.
- Masukkan CAPTCHA dan klik SETERUSNYA.
- Masukkan nombor OTP yang diterima dan klik SETERUSNYA.
- Anda akan menerima pautan verifikasi yang dihantar ke emel anda setelah pendaftaran berjaya.
Cara Mencarum
- Klik DISINI atau klik pada URL yang dihantar, link tersebut akan membawa anda ke laman sesawang MATRIX untuk lengkapkan proses pengaktifan.
- Masukkan UNGKAPAN RAHSIA, KATA LALUAN dan PENGESAHAN KATA LALUAN.
- Klik SETERUSNYA dan anda berjaya mendaftar akaun MATRIX.
- Masukkan nombor kad pengenalan anda dan klik SETERUSNYA.
- Semak semula UNGKAPAN RAHSIA dan pastikan ia betul.
- Masukkan KATA LALUAN dan klik LOG MASUK.
- Pilih SAYA BEKERJA SENDIRI.
- Klik DAFTAR dan pilih salah satu sektor dari senarai dan klik HANTAR.
- Isikan maklumat dan muat naik dokumen diperlukan.
- Pilih PELAN CARUMAN dan tempoh perlindungan anda pada ruang BULAN CARUMAN.
- Pastikan anda telah membaca dan klik pada TERMA DAN SYARAT.
Cara Membuat Pembayaran
- Klik HANTAR DAN BAYAR.
- Pilih saluran PERBANKAN INTERNET dan klik BAYAR DENGAN FPX selepas membaca dan tanda pada kotak TERMA DAN SYARAT.
- Senarai pilihan bank akan keluar setelah anda klik PILIH BANK.
- Klik BAYAR PADA FPX. Log masuk menggunakan NAMA PENGGUNA dan KATA LALUAN anda. Selesaikan urusan pembayaran anda.
- Resit pembayaran caruman boleh dimuat turun setelah pembayaran berjaya dibuat. Jadi, bermulalah perlindungan ke atas anda.
https://youtu.be/XvJ49kh14tA
Maklumat Lanjut
Ingin tahu lebih lanjut mengenai caruman ini? Anda boleh terus hubungi :
- Emel : [email protected]
- Care Line : 1300 22 8000