Cuti Bersalin Kerja Swasta atau Kerajaan Di Malaysia Yang Ibu Ayah Perlu Tahu. Suami Juga Boleh Dapat Cuti Bersalin

974

Kita sering dengar bahawa pekerja wanita yang bakal melahirkan mendapat manfaat cuti bersalin. Namun sejauh manakah pengetahuan kita tentang hak bakal ibu untuk ambil cuti bersalin swasta atau kerajaan?

Ramai yang tidak tahu bahawa bakal ibu yang bekerja di sektor swasta atau kerajaan layak mendapat cuti sehingga 90 hari berikutan dengan pindaan Akta Kerja 1955 yang mana membolehkan pekerja swasta dan kerajaan wanita mengambil cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui lebih lanjut mengenai cuti bersalin mengikut Akta Kerja 1955 untuk memberi pengetahuan lebih meluas kepada para ibu yang bakal melahirkan.

CUTI BERSALIN (MATERNITY LEAVE)

Cuti bersalin bergaji (Paid Maternity Leave) adalah hak pekerja wanita dan ia adalah tempoh bagi tidak kurang daripada 60 hari berturut-turut mengikut  Seksyen 37 Akta Kerja 1955.

  • Akta ini terpakai kepada pekerja wanita sama ada berkahwin atau tidak berkahwin.
  • Cuti bersalin tidak boleh bermula lebih awal daripada tempoh 30 hari sebelum bersalin.
  • Cuti bersalin tidak boleh lewat daripada hari berikutnya selepas seseorang pekerja wanita itu bersalin.
  • 60 hari berturut-turut adalah termasuk hari rehat, cuti sakit, cuti umum dan sebagainya.
  • Jika terdapat cuti umum semasa cuti bersalin, bermakna tiada cuti gantian atau tambahan untuk pekerja.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MENDAPAT CUTI BERSALIN

Antara syarat-syarat yang dibincangkan di dalam seksyen 37-44 adalah seperti berikut:

  • Bersalin selepas hamil 22 minggu
  • Satu kesalahan kepada majikan jika memberhentikan pekerja di dalam tempoh bersalin. (Kecuali syarikat ditutup)
  • Terhad kepada 5 orang anak untuk mendapat elaun.
  • Tidak dibolehkan bercuti 30 hari lebih awal daripada tempoh bersalin. (Kecuali dapat pengesahan daripada pegawai perubatan)
  • Jika pekerja wanita tidak ingin mendapat rawatan, ianya boleh dibatalkan kelayakan mendapat elaun

TUNTUTAN ELAUN BERSALIN (MATERNITY ALLOWANCE)

Menurut Seksyen 37(2)(c), pekerja yang bergaji bulanan yang menerima gajinya sepanjang cuti bersalin adalah dianggap telah menerima elaun bersalinnya.

Ini bermakna, jika gaji pekerja masih berjalan ketika cuti bersalin, tuntutan elaun tidak boleh dibuat melainkan pekerja bergaji hari yang datang bekerja sahaja.

Berikut adalah kelayakan elaun bersalin:

  • Belum mempunyai 5 orang anak atau lebih
  • Pekerja telah diambil bekerja oleh majikan pada bila-bila masa dalam tempoh empat bulan sebelum pekerja bersalin.
  • Pekerja telah diambil bekerja bagi tempoh tidak kurang daripada 90 hari dalam masa sembilan bulan sebelum bersalin.

NOTA RASMI CUTI BERSALIN SWASTA

Menurut undang-undang, pekerja yang ingin menikmati semua faedah bersalin yang ditetapkan di dalam kontrak pekerjaan perlulah:

  • Maklumkan kepada majikan mengenai kehamilan anda sekurang-kurangnya 4 bulan dari tarikh bersalin
  • Notis rasmi perlu dihantar ke majikan dan jabatan sumber manusia di tempat kerja
  • Gagal memberi notis boleh mengakibatkan anda tidak layak mendapat faedah cuti bersalin serta elaun

ADAKAH SUAMI BOLEH DAPATKAN CUTI BERSALIN?

Undang-undang rasmi telah digubal dan membolehkan seorang suami layak mengambil cuti bersalin atau lebih dikenali sebagai cuti ‘paternity’ dan kebanyakan majikan menyediakan kelebihan itu.

  • Penjawat awam Malaysia berhak mendapat cuti untuk isteri bersalin selama 7 hari
  • Segelintir kakitangan kerajaan negeri dibenarkan mengambil cuti sehingga 14 hari
  • Sesetengah syarikat hanya menyediakan satu hingga tiga hari cuti bapa.
  • Cuti paternity adalah bergantung kepada syarikat anda bekerja.

Semoga perkongsian ini memberi penjelasan dan membantu bakal ibu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hak untuk mendapatkan cuti bersalin nanti.

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image