Penjawat Tinggi Awam Perlu Mengambil Ujian Kecekapan Bahasa Inggeris

188

Penguasaan Bahasa Inggeris yang semakin lemah di Malaysia pernah menjadi isu panas dan ia kembali menarik perhatian ramai apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mahu penjawat tinggi awam mengambil ujian kecekapan Bahasa Inggeris.

Perdana Menteri yang membuat pengumuman itu pada 6 Jun lepas dipetik sebagai berkata “mustahak bagi penjawat tinggi awam untuk menguasai bahasa Inggeris yang baik kerana mereka mempunyai mesyuarat di luar negara.”

Perkara ini turut membuka siri perdebatan baru di kalangan anggota masyarakat yang turut menjadikannya topik perbincangan pada sesi sembang, baik di laman sosial mahupun di kedai kopi.

‘BUKAN PERKARA BARU’

Isu tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya bukanlah satu perkara yang baharu.

Dalam bidang pendidikan sebagai contoh, polemik penggunaan bahasa ini sebagai bahasa perantara bagi pelajaran Matematik dan Sains pernah menggegarkan negara tidak lama dahulu.

Baca juga: Permohonan DPLI Universiti Malaya di Buka

Dr Mahathir dalam satu acara di Melaka pada 2014 pernah menyatakan bahawa mempelajari Bahasa Inggeris tidaklah bermakna menolak Bahasa Melayu atau menjadikan warga Malaysia sebagai orang barat.

“Cuma bahasa ini (Inggeris) gerbang bagi ilmu. Tidak guna ada emas sebesar mana pun di bawah rumah kita kalau kita tidak tahu macam mana hendak keluarkan,” kata beliau lagi.

‘TINGKAT KEYAKINAN DIRI’

Perkara sama turut diulas Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir bulan lalu yang menyatakan sekiranya Malaysia mahu bergerak sebagai negara maju, ia perlu memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris.

“Tetapi sikap kita harus terbuka jika Malaysia nak berjaya sebagai negara maju maka penguasaan bahasa Inggeris juga perlu baik,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Hal ini turut disokong Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang pada 9 Jun lalu yang menyatakan keputusan mewajibkan pegawai kanan kerajaan mengambil ujian kecekapan bahasa Inggeris akan memastikan mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila berkomunikasi dengan pihak asing.

“Sudah tentu ramai (pihak asing) akan bertanya dan ingin belajar dengan Malaysia, tapi kalau pegawai kita gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan standard yang baik, ia akan mencemarkan reputasi negara,” kata beliau seperti yang turut dilaporkan Bernama.

Malah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pada 2016 juga pernah meluahkan kekecewaan beliau terhadap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pegawai kerajaan gred 41.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai merungsingkan kerajaan negeri dan beliau sendiri dalam memacu Melaka menjadi negeri pelabuhan antarabangsa.

‘MEWAKILI NEGARA’

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye pula ketika dihubungi Bernama memberitahu beliau percaya secara umum pegawai kerajaan mempunyai kemampuan berbahasa Inggeris tetapi berpendapat perlunya ada peningkatan terhadap mutu Bahasa Inggeris mereka.

Menurut beliau, apa yang penting adalah untuk bercakap Bahasa Inggeris dengan kualiti yang tinggi dan bukan yang salah tatabahasa dan penyampaian yang tidak menarik supaya mereka boleh berkomunikasi kepada dunia dengan lebih berkesan.

“Ini akan menguntungkan negara Malaysia jika kita ada pegawai kerajaan yang boleh bertutur dan berinteraksi dengan penjawat awam dari luar negeri, duduk dalam meja rundingan dalam Bahasa Inggeris, menyampaikan sendiri hasrat hati kita tanpa memerlukan khidmat jurubahasa,” ulas beliau.

Tambah beliau, apa yang lebih baik lagi adalah jika seseorang penjawat awam boleh menguasai tiga bahasa termasuk bahasa ibunda mereka kerana ini dapat memberi imej yang lebih terampil bagi negara Malaysia yang kaya dengan elemen antara kaum dan budaya.

“Kita tidak perlu ikut Jepun yang memang mengamalkan dasar satu bahasa. Mengadakan penterjemah bagi Jepun dan China memang sudah menjadi satu kelaziman.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum, rakyat kita lebih suka menguasai bahasa lain, lebih-lebih lagi apabila kita boleh berinteraksi dengan dunia tanpa perlu menggunakan khidmat penterjemah,” jelas beliau.

‘MEDIUM ILMU’

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Khir Ngadiron pula berpendapat di samping kesedaran keperluan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, satu perkara yang lebih penting adalah soal penguasaan ilmu, pengisian dan pengetahuan.

Sekiranya perlu, khidmat badan seperti ITBM boleh digunakan untuk menjadi jurubahasa pada program besar.

“Jangan kita hilang arah dengan terlalu mementingkan soal medium, soal alat kerana Bahasa Inggeris itu adalah alat untuk menyampaikan sesuatu. Jangan hanya pandai berbahasa Inggeris tetapi pengetahuannya tidak bagus kerana akhirnya dia tidak dapat menyumbang apa-apa pun,” ulas beliau.

Beliau mengambil contoh ketika Perdana Menteri membuat lawatan rasmi ke Jepun baru-baru ini, sesi soal jawab melibatkan Dr Mahathir diterjemahkan sepenuhnya ke Bahasa Jepun walaupun Dr Mahathir bercakap menggunakan Bahasa Inggeris.

Bagi Khir, ini adalah satu contoh yang baik di mana kemajuan negara berjalan seiring dengan penguatkuasaan bahasa ibundanya.

Bagi pihak ITBM Khir berkata pihaknya sedia untuk membantu pihak kerajaan mencapai aspirasi ini dengan menyediakan latihan kepada pegawai kerajaan yang memerlukannya.

‘USAHA SEMASA’

Menurut laman sesawang Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), program Penilaian Kemahiran Bahasa Inggeris (ELPA) dilaksanakan sejak 1998 dan hingga kini menilai lebih daripada 10,000 pegawai bermula dari Gred 41 dan ke atas dari pelbagai skim perkhidmatan.

Penilaian ELPA diperkenalkan untuk menilai pegawai dari kumpulan pengurusan dan professional iaitu Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Penilaian ini dijalankan oleh Unit Bahasa Inggeris, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan dibangunkan bersama dengan pakar penilai dari University of Reading, United Kingdom bermula dari tahun 1997 hingga tahun 2000.

Penilaiaan ELPA mengandungi tiga komponen iaitu bacaan, penulisan dan pertuturan. Setiap komponen direka bentuk dengan teliti untuk menguji pengunaan Bahasa Inggeris di tempat kerja pegawai dari pelbagai keadaan dan latar belakang.

Baca juga: Permohonan Guru Ganti 2018 di Buka

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image