21 Tips Terkini Temuduga: Apa Perlu Anda Buat Sebelum, Semasa dan Selepas Temuduga
Tahniah kerana anda mendapat panggilan temuduga kerja. Pasti anda sangat teruja setelah menunggu dengan begitu lama untuk mendapatkan kerja idaman anda dan pastinya anda ingin lulus temuduga yang bakal anda hadapi nanti.
Disini dikongsikan 21 tips untuk anda praktikkan sebelum, semasa dan selepas temuduga. Tips temuduga di bawah merupakan tips terkini yang anda boleh sesuaikan dengan apa jua sesi temuduga.
Tips Sebelum Temuduga
Beberapa hari sebelum anda menghadapi temuduga, anda boleh membuat persediaan seperti berikut:
1. Dapatkan Maklumat Tentang Syarikat Dan Panel Penemuduga
Cuba dapatkan maklumat seperti profil syarikat, faedah kepada pekerja yang ditawarkan syarikat, operasi syarikat, corak kepimpinan syarikat serta perkara lain yang berkaitan dengan syarikat yang bakal anda pergi temuduga.
Gunakan apa sahaja medium seperti portal rasmi syarikat serta pelbagai media sosial yang berkaitan untuk mendapat maklumat supaya anda benar-benar tahu tentang syarikat tersebut.
Atau anda boleh terus sahaja aplikasikan teknik Cara Selidik Background Majikan ini yang pernah kami huraikan dahulu.
2. Berlatih Menjawab Soalan
Anda boleh berlatih menjawab soalan-soalan yang selalu ditanya ketika temuduga seperti, ‘Sila ceritakan tentang diri anda dan mengapa anda memilih untuk bekerja di syarikat ini?’. Ini dapat membantu anda untuk menjawab dengan lebih yakin serta nilai yang anda akan berikan kepada syarikat sekiranya anda bekerja di syarikat tersebut.
Terus baca set-set soalan dan tips temuduga lengkap ini.
Tip : Anda juga boleh bertanya dan berbincang tentang gaji anda berdasarkan lokasi, industri dan pengalaman kerja yang lalu.
Untuk rujukan soalan temuduga anda juga boleh rujuk 100 contoh soalan temuduga kerja kerajaan ini. Baca dan lihat soalan-soalan yang bakal ditanya.
3. Membaca Semula Huraian Pekerjaan
Cetak dan baca serta fahami kemahiran khusus yang diperlukan atau dikehendaki oleh syarikat. Fikirkan contoh kerja yang berkaitan dengan kerja yang pernah anda lakukan sebelum dan sekarang ini.
4. Gunakan Kaedah STAR Dalam Menjawab Soalan
Bersedia dengan soalan mengenai pengalaman kerja yang lalu. Gunakan kaedah STAR untuk bercerita dengan jelas iaitu Situasi (Situation), Tugas ((Task), Tindakan (Action) dan Hasil (Result).
5. Berlatih Menjawab Soalan Bersama Rakan
Berlatih menjawab soalan dengan baik dan jelas adalah cara persediaan yang sangat berkesan. Minta rakan anda untuk menjawab soalan dan berikan jawapan. Melalui cara ini, anda akan menjadi lebih yakin untuk menjawab soalan ketika temuduga nanti.
6. Sediakan Senarai Rujukan
Kemungkinan penemuduga akan meminta anda memberikan senarai rujukan sebelum atau selepas temuduga anda. Dengan menyiapkan senarai rujukan dengan lebih awal, ia membantu anda pergi ke langkah yang seterusnya untuk diambil bekerja.
7. Bersedia Dengan Contoh Kerja Anda
Anda juga mungkin akan ditanya mengenai pekerjaan yang telah anda lakukan sebelum ini. Berikan contoh pekerjaan yang berkaitan serta kejayaan yang telah anda kecapi.
8. Sediakan Soalan Untuk Penemuduga Anda
Temuduga adalah komunikasi dua hala. Majikan juga mengharapkan anda bertanyakan soalan kerana mereka ingin tahu berapa seriuskah anda ingin bekerja di syarikat mereka. Berikut adalah beberapa soalan yang sesuai untuk anda tanyakan kepada penemuduga :
- Bolehkah anda menerangkan tugasan ini secara terperinci?
- Bagaimana anda menggambarkan ciri-ciri seseorang yang akan berjaya dalam jawatan ini?
- Sekiranya saya menjawat jawatan ini, bagaimana prestasi saya dinilai? Berapa kerap ianya dinilai?
- Kebiasaannya, bahagian manakah yang boleh bekerja sebagai satu pasukan?
- Bagaimanakah caranya mereka bekerjasama?
- Bagaimanakah bentuk proses tersebut?
- Apakah cabaran yang anda hadapi dalam pekerjaan anda?
Beri perhatian juga kepada soalan-soalan yang tidak perlu anda ajukan kepada penemuduga. Dalam temuduga ada “taboo” tertentu.
Tips Semasa Temuduga
Setelah membuat persiapan sebelum temuduga, anda boleh berjaya dalam temuduga dengan mengikuti tips berikut :
9. Siapkan Pakaian Untuk Temuduga Seawal 1 Hari
Anda perlu menyiapkan pakaian untuk temuduga yang betul dan sesuai dengan jawatan dan syarikat tersebut sekurangnya 1 hari. Jika anda tidak pasti tatacara berpakaian untuk temuduga, dapatkan cadangan daripada rakan anda.
10. Bawa Salinan Resume, Buku Nota Dan Pen
Siapkan sekurangya lima salinan resume. Buat resume anda dengan kemas dan cantik untuk diberikan kepada setiap penemuduga. Apa dokumen perlu di bawa dan tidak perlu di bawa ke tempat temuduga juga perlu diberikan perhatian oleh anda.
Baca juga: Perbezaan antara Resume, Biodata dan CV.
Bawa pen dan buku nota kecil untuk membuat beberapa catatan penting ketika temuduga. Jaga hubungan mata ketika proses temuduga dijalankan untuk menampakkan keyakinan anda ketika temuduga dijalankan.
Sediakan juga Cover Letter, kadangkala majikan mencari isi-isi tetentu di dalam Cover Letter anda.
11. Sampai Awal Di Tempat Temuduga
Datang awal 10-15 minit sebelum sesi temuduga dijalankan. Rancang perjalanan anda dengan teliti.
Tip: Anda boleh melihat dan analisa corak cara kerja di syarikat tersebut.
12. Tanggapan Pertama Yang Hebat
Pastikan anda memakai kasut yang bersih, rambut anda disikat kemas dan pastikan kuku dipotong pendek. Begitu juga dengan pakaian anda. Pakai pakaian yang bersih dan berbau wangi. Pastikan anda menggunakan bahasa badan yang betul dan sentiasa senyum sepanjang sesi temuduga dijalankan.
13. Menghormati Orang Lain
Hormat dan layan semua staf atau pekerja yang anda temui di syarikat tersebut dengan baik. Kadangkala terdapat majikan atau penemuduga yang akan mendapatkan maklumbalas calon daripada pekerja mereka untuk mengukuhkan keputusan mereka.
14. Amalkan Adab Dan Bahasa Badan Dengan Baik
Tampilkan bahasa badan yang lebih yakin dan beradab ketika temuduga dijalankan. Duduk atau berdiri dengan tekstur badan yang betul. Tarik nafas sedalam mungkin dan hembus perlahan-lahan untuk menghilangkan perasaan cemas dan ianya membantu anda untuk lebih yakin. Berjabat tangan sekiranya penemuduga menghulurkan tangan dan berikan senyuman paling manis buat mereka.
Perhatikan juga bahasa badan penemuduga semasa sesi temuduga sedang berlangsung.
15. Menangi Penemuduga Dengan Menjadi Diri Sebenar Dan Bersikap Positif
Jadilah diri anda yang sebenar ketika temuduga dijalankan. Dengan cara ini, penemuduga akan rasa lebih dekat dengan anda dan anda juga menjadi selesa. Sentiasa positif dengan memberikan senyuman serta penggunaan bahasa badan yang baik dapat membantu kelancaran proses temuduga dijalankan.
16. Menjawab Soalan Dengan Jujur
Jawab setiap soalan yang diajukan dengan jujur. Fokus pada kekuatan utama anda dan mengapa latar belakang anda menjadikan anda layak untuk menjawat jawatan tersebut.
Ketahui juga soalan-soalan yang tak perlu anda jawab semasa temuduga. Ini kerana tak semua soalan perlu anda jawab sekiranya soalan yang diajukan melibatkan soal peribadi anda.
17. Kaitkan Jawapan Anda Dengan Kemahiran Dan Pencapaian Anda
Setiap kali anda menjawab soalan yang diajukan, kaitkan jawapan anda dengan kemahiran serta pencapaian anda. Gunakan setiap peluang yang ada supaya jawapan yang diberikan adalah menarik dan penemuduga menjadi yakin dengan anda.
Jika kelayakan anda overqualified pula. Ini tips yang anda boleh cuba follow.
18. Pastikan Jawapan Anda Ringkas Dan Fokus
Masa anda dengan setiap penemuduga adalah terhad. Jadi anda perlu fokus dengan memberikan jawapan yang ringkas dan tidak bercakap perkara yang tidak penting.
19. Jangan Bercakap Negatif Mengenai Majikan Anda Sebelum Ini
Jangan sesekali anda menceritakan masalah anda dengan majikan sebelum ini pada penemuduga walaupuan anda disoal oleh mereka. Ini boleh membuatkan penemuduga memberikan pandangan yang negatif buat anda. Anda hanya perlu fokus pada kelebihan dan kebaikan yang anda perolehi untuk penambahbaikan di masa akan datang.
Tips Selepas Temuduga
Setelah temuduga selesai, anda boleh lakukan perkara berikut :
20. Tanya Mengenai Langkah Seterusnya
Selepas temuduga tamat, anda boleh bertanya sama ada penemuduga dan Pengurus Sumber Manusia apa yang anda harapkan seterusnya. Mungkin anda akan menerima emel susulan seperti keputusan temuduga anda, syarat tambahan seperti tugasan atau senarai rujukan atau temuduga yang lain.
21. Hantar Emel Terima Kasih Secara Peribadi
Minta kad nama setiap penemuduga selepas sesi temuduga tamat. Sekurangnya anda boleh menghantar emel kepada mereka dan ucapkan terima kasih serta masukkan nota yang telah anda catatkan semasa sesi temuduga dijalankan.
Ini contoh email susulan yang anda boleh ikut dan hantar kepada penemuduga anda.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat serta membantu anda untuk menghadapi temuduga dan mendapat pekerjaan yang anda idamkan.
Semoga berjaya.