Bantuan Sara Hidup Fasa Pertama di Bayar Mulai 28 Januari Ini

Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama akan dilaksanakan pada 28 Januari depan dengan mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang berkemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan pembayaran dibuat secara cepat sebelum bulan Februari tahun depan.

Jelasnya, atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memberi manfaat sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

“Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dan bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.

“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, proses pemutihan untuk mengeluarkan nama penerima tidak layak akan dilakukan berikutan mereka tidak terdiri daripada golongan B40 dan ia memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.

Ujarnya, proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program tersebut secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

Tambahnya, kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Sumber

Leave a Reply