5 Kelebihan Beli Rumah Pertama Menggunakan Loan LPPSA Yang Wajib Anda Tahu

4,823

Memiliki rumah sendiri merupakan sesuatu yang sangat diidamkan oleh semua. Namun, malangnya apabila melihatkan harga rumah pada ketika ini, ramai daripada kita yang terbantut impiannya untuk memiliki rumah sendiri.

Baca juga:Golongan B40, Ini Bantuan Dari Kerajaan Untuk Membantu Anda Beli Rumah Pertama Anda

Harga rumah belakangan ini sememangnya tinggi dan adalah sukar bagi pembeli untuk membeli rumah dengan wang sendiri. Jadi, anda memerlukan skim pinjaman untuk membantu anda dalam membeli rumah.

Untuk makluman, pelbagai skim pinjaman untuk tujuan membeli rumah ditawarkan. Anda bebas untuk memilih mana-mana skim pinjaman yang anda minat. Namun, adalah dinasihatkan supaya anda berhati-hati dalam memilih skim ini. Anda perlulah memilih skim pinjaman yang terbaik dan mampu memberi keuntungan kepada anda.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada juga skim pinjaman yang boleh merugikan anda. Anda dinasihatkan untuk mengakaji terlebih dahulu skim-skim yang ditawarkan sebelum anda memilih skim tersebut.

Salah satu skim pinjaman perumahan terbaik yang boleh anda pilih adalah pinjaman perumahan LPPSA. Pinjaman perumahan LPPSA juga merupakan skim pinjaman yang sama seperti ditawarkan oleh pihak lain dengan tujuan untuk membeli rumah.

Anda disarankan untuk memohon pinjaman ini bagi membeli rumah kerana pelbagai kelebihan akan dapat anda peroleh terutama sekali buat anda yang ingin membeli rumah pertama.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 5 kelebihan membeli rumah pertama dengan menggunakan loan LPPSA yang bakal anda peroleh.

KELEBIHAN-KELEBIHAN MEMBELI RUMAH PERTAMA DENGAN LOAN LPPSA

Terdapat pelbagai kelebihan serta manfaat yang bakal anda nikmati daripada skim pinjaman perumahan LPPSA ini. Berikut merupakan senarai 5 kelebihan tersebut.

1.) Anda masih boleh membeli rumah dengan menggunakan skim pinjaman perumahan LPPSA walaupun nama anda telah di ‘backlist’ dalam CCRIS/CTOS untuk pinjaman bank.

Untuk makluman anda, terdapat dua jenis skim pinjaman yang boleh dipohon oleh kakitangan kerajaan. Kedua-dua skim pinjaman itu adalah Pinjaman Kerajaan serta Pinjaman Bank. Berbeza pula dengan pekerja sektor swasta kerana pekerja swasta hanya boleh membeli rumah menggunakan skim pinjaman bank.

Hal ini menunjukkan kelebihan lebih memihak kepada pekerja sektor kerajaan berbanding sektor swasta. Kakitangan kerajaan boleh membeli lebih daripada sebuah rumah untuk dijadikan aset dengan menggunakan kedua-dua loan ini tetapi pekerja swasta pula hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada pinjaman bank.

Untuk pekerja sektor swasta, pinjaman untuk membeli rumah pertama dan kedua akan mendapat pinjaman sebanyak 90% manakala untuk rumah ketiga akan mendapat sebanyak 70% sahaja daripada harga rumah yang ingin dibeli itu.

Berbeza pula dengan kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman menggunakan pinjaman kerajaan kerana kakitangan kerajaan mampu mendapatkan pinjaman untuk rumah pertama dan kedua dengan jumlah 100% daripada harga rumah itu. Malah, kadar faedah yang dikenakan juga adalah lebih rendah iaitu 4.0% jika dibandingkan dengan faedah pinjaman bank sebanyak 4.5% hingga 5.5%.

Untuk pinjaman bank, anda perlu berhati-hati kerana permohonan anda untuk membuat pinjaman tidak akan diluluskan sama sekali sekiranya nama anda di ‘blacklist’ dalam CCRIS dan CTOS. Sekiranya nama anda sudah di ‘blacklist’, anda tidak perlu risau. Anda masih boleh membeli rumah tetapi menggunakan skim pinjaman LPPSA.

2.) Tempoh pinjaman sehingga 30 tahun buat peminjam yang berumur 35 tahun ke bawah.

Untuk makluman, anda boleh meminjam dengan skim LPPSA ini sebanyak dua kali tetapi dengan syarat anda telah melunaskan pinjaman yang pertama.

Sama ada anda membuat bayaran dalam jumlah yang banyak setiap bulan atau menjual rumah pertama itu untuk tujuan keuntungan, yang pastinya hutang rumah pertama itu mestilah diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda boleh memohon untuk pinjaman bagi rumah kedua.

Untuk pengetahuan anda juga, bagi peminjam skim LPPSA yang berumur 35 tahun ke bawah, anda mempunyai tempoh 30 tahun untuk pinjaman LPPSA ini. Jadi, anda mempunyai masa yang panjang untuk melangsaikan pinjaman pertama anda dan selepas itu bolehlah anda kemukakan pinjaman buat kali kedua.

3.) Anda boleh dapat cashback sebaik sahaja loan release ke akaun peguam anda.

Sebagai contoh, anda membeli sebuah rumah dengan harga RM350k sedangkan harga pasaran adalah sebanyak RM400k, anda sebenarnya akan dapat semula cashback sebanyak RM50k tersebut sebaik sahaja pinjaman itu release ke akaun peguam anda. Begitu juga dengan nilai-nilai lain, anda boleh dapatkan cashback dengan syarat anda membli rumah di bawah market value.

Prosesnya begini, anda perlu memohon 100% pinjaman untuk harga pasaran. Sebagai contoh harga pasaran rumah yang ingin dibeli itu adalah RM400k tetapi anda dapat membeli rumah itu pada harga RM350k. Sebaik sahaja loan tersebut di release dalam akaun peguam yang menguruskan segala fail dan dokumen anda, anda akan menerima cashback sebanyak RM50k dalam bentuk cek atas nama anda.

4.) Cashback lebih banyak jika anda membeli rumah di projek perumahan baru.

Kebanyakan projek-projek perumahan baru menawarkan harga booking yang rendah iaitu sebanyak RM1000 dan anda juga bakal memperoleh rebate sebanyak 10%. Jadi, jika rumah itu berharga RM400k, anda akan mendapat rebate sebanyak 10% iaitu penolakan sebanyak 10% daripada harga rumah itu. 10% daripada RM400k adalah RM40k. Jadi, harga rumah itu kini hanyalah RM360k.

Untuk makluman, permohonan skim pinjaman LPPSA adalah pada harga perjanjian jual beli iaitu RM400k. Dengan ini, anda akan memperoleh rebate sebanyak RM80k. Berikut merupakan kiraannya.

Anda memperoleh 10% rebate. jadi harga rumah ditolak sebanyak RM40k.
100% loan LPPSA pada harga RM400k sedangkan harga rumah tersebut kini hanya RM360k. Jadi, akan ada lagi RM40k lebihan pinjaman.
Jumlah cashback yang anda dapat adalah sebanyak RM80k.

5.) Peminjam LPPSA tidak perlu membayar kadar faedah mengikut peratus projek siap dibina seperti pekerja swasta.

Telah diselaraskan bahawa peminjam LPPSA untuk tujuan membeli rumah di projek perumahan baru tidak perlu membayar kadar faedah mengikut peratusan siap dibina untuk setiap bulan dalam tempoh tiga tahun sepertimana pekerja sektor swasta.

Baca juga: Panduan Asas Mesti Boleh Beli Rumah Pertama Sesuai Untuk Golongan Bujang & Berkeluarga

Untuk LPPSA, apabila projek siap 100% dan anda sudah menerima kunci, barulah anda perlu mula membayar secara bulanan kepada LPPSA.

Begitulah kelebihan-kelebihan yang bakal anda peroleh sekiranya anda membuat pinjaman melalui LPPSA untuk membeli rumah pertama. Jadi, kepada semua kakitangan kerajaan yang ingin membeli rumah pertama, jangan lepaskan peluang ini. Mohonlah skim pinjaman perumahan LPPSA. Banyak kelebihannya bukan?

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image