Faedah, Bonus Serta Imbuhan Penjawat Awam Kekal di Bawah Pentadbiran Kerajaan Baru

768

Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 yang lalu masih dirasai sehingga hari ini. Mana tidaknya, sejarah pertama kali tercipta apabila rakyat Malaysia melaungkan suara keramat menginginkan perubahan sehingga memperlihatkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara selama 60 tahun.

Mandat mentadbir negara telah jatuh ke tangan parti lawan iaitu Pakatan Harapan (PH). Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Banyak reaksi gembira rakyat Malaysia dirakamkan kerana kerajaan PH bakal mengumumkan pelbagai inisiatif serta faedah untuk kepentingan rakyat. Namun, pada masa yang sama, suara kebimbangan segelintir rakyat Malaysia juga mula didengari.

Segelintir rakyat Malaysia mempersoalkan adakah faedah serta imbuhan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini kepada penjawat awam kekal ataupun dibatalkan? Jawapannya adalah kesemua faedah serta imbuhan yang diumumkan kepada penjawat awam itu kekal.

Pengumuman ini di buat oleh Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng yang memberikan jaminan bahawa setiap faedah serta imbuhan yang diberikan kepada penjawat awam akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara sekarang ini.

Beliau memaklumkan kepada rakyat supaya tidak bimbang kerana kecemerlangan pemerintahan Pakatan Harapan telah terbukti di dua buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu negeri Pulau Pinang dan Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

Lim Guan Eng juga turut menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang tentang pembayaran bonus oleh kerajaan Pakatan Harapan. Beliau memberi contoh pembayaran bonus yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor di mana rakyat Selangor menikmati bonus tiga bulan gaji.

Manakala kerajaan negeri Pulau Pinang pula telah memberikan bonus kepada rakyat sebanyak dua bulan gaji kepada pekerja. Kadar pemberian bonus di bawah kedua-dua negeri pimpinan Pakatan Harapan ini jauh lebih tinggi daripada kadar bonus yang diberikan oleh kerajaan persekutuan yang dipegang oleh BN sebelum ini.

Jelas Lim Guan Eng lagi, pemerintahan cemerlang Pulau Pinang bukan sahaja diiktiraf dalam Malaysia tetapi juga turut diiktiraf dunia. Buktinya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat.

Di samping itu, Lim Guan Eng turut menzahirkan rasa bangga apabila negeri Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan berjaya mencapai taraf kitar semula tertinggi di Malaysia sebanyak 38 peratus berbanding kadar kitar semula kebangsaan yang hanya berada pada 28 peratus sahaja semasa pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.

Melihatkan pada kecemerlangan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Pulau Pinang serta Selangor, maka dapatlah dirumuskan bahawa anda tidak perlu risau tentang kebajikan ekonomi anda. Kerajaan PH akan mencuba sedaya-upaya dalam memastikan kebajikan anda terbela.

Selain itu, segala inisiatif, faedah serta imbuhan yang anda nikmati daripada kerajaan sebelum ini, akan tetap diteruskan oleh kerajaan baru pimpinan PH. Semoga lebih banyak lagi faedah bakal anda peroleh daripada kerajaan baharu ini.

Baca: Senarai Menteri Kabinet 2018 dan Senarai Menteri Besar & Ketua Menteri 2018

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image