Ini Ciri Budaya Kerja Yang Dicari Majikan Dalam Setiap Resume Calon
Ciri Yang Dicari Majikan Melalui Resume
Terdapat beberapa ciri yang dicari oleh majikan melalui resume yang anda hantarkan kepada mereka. Tahukah anda bahawa ciri yang dicari merupakan ciri-ciri budaya kerja cemerlang yang perlu ada dalam setiap pencari kerja untuk memajukan sesuatu organisasi.
Jadi, ciri apakah yang selalu oleh majikan untuk dimasukkan ke dalam resume anda?
Ikuti perkongsian ini untuk dapatkan beberapa ciri budaya kerja cemerlang untuk anda masukkan ke dalam resume anda?
Senarai Ciri Budaya Kerja Cemerlang
Berikut adalah senarai ciri Budaya Kerja Cemerlang yang dicari oleh majikan dalam resume anda :
1. Menepati Masa
Pastikan anda meletakkan ke dalam resume mengenai ketepatan masa anda menyelesaikan sesuatu projek atau tugasan yang diberikan oleh majikan atau pensyarah anda. Ini kerana seseorang yang berdisiplin akan melaksanakan sesuatu projek dan tugasan yang diberikan mengikut waktu yang diberikan. Pekerja yang menepati masa juga tidak akan hadir lambat untuk bekerja dan tidak mempunyai masalah disiplin yang akan merosakkan sesuatu organisasi.
2. Berinisiatif
Jika anda mempunyai sikap inisiatif atau kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah, anda merupakan antara calon pekerja yang sememangnya dicari oleh majikan masa kini. Ini kerana pekerja ini gemar berusaha melakukan sesuatu perkara tanpa disuruh dan tidak memerlukan pengawasan yang maksimum.
Setiap pekerja mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka yang beretika dalam kerjanya akan sentiasa giat berusaha mengembangkan syarikat di mana mereka bekerja.
3. Sentiasa Positif
Pekerja yang mempunyai sikap positif akan menghasilkan persekitaran tempat kerja yang tenang dan dan sentiasa berkomitmen untuk menghasilkan kerja yang berkualiti.
4. Bertanggungjawab
Setiap pekerja yang bertanggungjawab akan memudahkan sesuatu syarikat kerana mempunyai fikiran yang rasional untuk tidak melakukan perkara yang tidak diingini oleh syarikat. Pekerja tersebut akan bertanggungjawab dengan setiap projek dan tugasan yang diberikan oleh majikan dan menghasilkan keuntungan buat syarikat.
5. Amanah
Sifat amanah adalah antara sifat yang dicari majikan terutamanya bagi mereka yang memohon pekerjaan yang berkaitan dengan rahsia syarikat seperti pendapatan, jualan, duit keluar masuk dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan kerahsiaan syarikat. Jika pekerja memecahkan amanah yang diberikan, segala urusan syarikat akan terganggu dan boleh menyebabkan anda kehilangan pekerjaan.
6. Komitmen
Pekerja yang berkomitmen akan memberikan seluruh perhatiannya kepada syarikat dan pekerjaan. Jadi, anda perlu bersungguh-sungguh terhadap apa sahaja kerja yang dilakukan. Dengan adanya komitmen terhadap pekerjaan, mutu hasil kerja yang dilakukan juga akan menjadi lebih cemerlang.
7. Integriti
Tahap integriti pekerja boleh dinilai melalui sejauh mana mereka jujur dengan diri sendiri. Pekerja yang mempunyai sikap ini akan bersikap jujur dengan majikan dan rakan-rakan sekerja. Pekerja yang mempunyai sikap integriti juga akan melakukan perkara yang diucapkan dan tidak hanya bercakap kosong sahaja iaitu dengan mengamalkan prinsip WALK THE TALK.
8. Cergas Dan Cerdas
Dapat dilihat dalam resume melalui penglibatan anda dalam aktiviti sosial dan pencapaian. Pekerja yang cergas dan cerdas akan menyumbang lebih 60 peratus daripada produktiviti mereka. Cerdas dan cergas yang berkaitan dengan budaya kerja yang dicari oleh majikan ialah keupayaan menetapkan keutamaan, merancang, menyelesaikan tugas yang diberi dan menyelesaikan masalah.
9. Komunikasi Berkesan
Mengapa komunikasi berkesan? Jika anda bakal bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan komunikasi, marketing dan sektor yang memerlukan anda perlu bercakap dengan dengan ramai orang, ia adalah salah satu ciri penting yang perlu ada dalam diri anda. Anda perlu yakinkan pelanggan, pembeli atau pelabur untuk terus bekerjasama dengan syarikat anda. Jadi, masukkan kelebihan ini ke dalam resume anda dibahagian kemahiran dan jangan lupa masukkan di dalam bahagian pencapaian sekiranya ada.
10. Kepimpinan
Pekerja yang mempunyai sifat kepimpinan sangat mudah mendengar arahan dan mempunyai ciri untuk memimpin orang lain untuk menyelesaikan beberapa tugasan yang diberikan oleh majikan. Mereka yang mempunyai ciri ini sangat membantu majikan untuk menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan urusan-urusan lain di syarikat.
Selalunya, pekerja seperti ini menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk menjadi pemimpin dengan menawarkan diri untuk berusaha mencari strategi untuk mencapai matlamat syarikat.
11. Berdaya Saing
Pekerja yang mempunyai sikap atau ciri berdaya saing sangat membantu syarikat untuk terus maju dari masa ke semasa. Mereka juga sentiasa mempunyai cadangan dan juga usul baru untuk dibentangkan kepada majikan. Malahan mereka juga akan mendapatkan maklumat, membuat penyelidikan, kreatif dan sentiasa berkeinginan untuk mencuba perkara baru yang mendatangkan hasil.
Anda juga boleh dapatkan maklumat yang berkaitan melalui pautan ini : 11 Kelayakan Yang Mempunyai Demand Tinggi Sekiranya Anda Letak Dalam Resume