Cara Tukar Nama Geran Kereta & Motorsikal Pemilik Meninggal Dunia

1,182

Untuk pengetahuan anda, jika anda ingin menukar hak milik kereta atau motosikal daripada nama asal pemilik (owner) geran kenderaan yang telah meninggal dunia, anda perlu ikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Jika anda menjadikan kenderaan si mati sebagai kegunaan harian, anda perlulah membuat pertukaran pemilikan kenderaan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Pertukaran ini adalah untuk membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan dan mengambil perlindungan insuran sepenuhnya ketika menggunakan kenderaan tersebut di jalan raya.

Berikut adalah cara dan prosedur tukar nama geran kereta dan motosikal pemilik yang telah meninggal dunia seperti yang ditetapkan oleh JPJ.

INFO DAN PANDUAN TUKAR NAMA KENDERAAN PEMILIK MENINGGAL DUNIA

Berikut adalah maklumat lanjut mengenai pertukaran nama geran kenderaan jika pemilik meninggal dunia.

1) Pembaharuan Cukai Jalan

Untuk pembaharuan cukai jalan (Road Tax) bagi kenderaan yang masih berdaftar atas nama pemilik yang telah meninggal dunia:

  • Cukai jalan hanya boleh diperbaharui sekali sahaja untuk tempoh 6 bulan oleh waris terdekat selepas tarikh akhir cukai jalan berkenaan
  • Urusan pembaharuan cukai jalan tersebut hanya boleh dibuat di kaunter JPJ sahaja
  • Selepas tempoh 6 bulan itu tamat, pembaharuan cukai jalan ke atas kenderaan terbabit tidak boleh dibuat lagi.
  • Waris atau pengguna baru perlulah membuat permohonan pertukaran hak milik jika ingin membuat pembaharuan cukai

2) Pemilik Baru Yang Berhak Ke  Atas Kenderaan Yang Ditinggalkan

Pemilik baru yang berhak ke atas kenderaan berdaftar yang ditinggalkan oleh si mati adalah:

  • Waris yang telah ditetapkan oleh si mati
  • Jika si mati tidak menetapkan waris penerima kenderaan tersebut, waris si mati boleh membuat permohonan yang berkenaan dan salah satu caranya adalah dengan membuat permohonan di Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil / Pejabat Tanah berdekatan bagi menetapkan siapa yang berhak (agihan) terhadap harta yang ditinggalkan. Dalam perkara ini kenderaan contohnya kereta (kategori Harta Alih)
  • Rujuk Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil/ Pejabat Tanah untuk prosedur permohonan dan senarai dokumen yang diperlukan.
  • Selesai agihan harta, waris yang menerima kenderaan tersebut akan mendapat Surat Pentadbir Pusaka ke atas setiap pemilikan harta yang ditinggalkan.
  • Surat pentadbir tersebut digunakan oleh waris yang berhak dalam proses pertukaran hak milik kenderaan sebagai bukti pengesahan atau sokongan pemilikan baru.

Contoh pengesahan dan sokongan pemilik baru:

3) PUSPAKOM

Untuk urusan Puspakom dalam pemindahan hak milik, waris perlu ketahui beberapa maklumat berikut:

  • Sebelum pindah milik, semua kenderaan persendirian perlu menjalani pemeriksaan mandatori.
  • Pada akhir pemeriksaan, pihak Puspakom akan mengeluarkan laporan B5, yang diperlukan oleh JPJ apabila memindahkan pemilikan kenderaan
  • Waris perlu bawa kenderaan (kecuali Motosikal) dan geran asal untuk urusan pemeriksaan di Puspakom
  • Selesaikan dulu urusan Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil baru buat pemeriksaan kenderaan di Puspakom kerana urusan Pembahagian Harta Pusaka Kecil mungkin mengambil masa yang berbulan-bulan berbanding tempoh sah laporan B5 Puspakom digunapakai hanya 30 hari sahaja

Berikut adalah panduan Pemeriksaan Tukar Hak Milik di Puspakom:

Cara Tukar Nama Geran Kereta & Motorsikal Pemilik Meninggal Dunia

4) JPJ

Untuk urusan di cawangan JPJ:

  • Setelah menerima pengesahan milikan sebagai pemunya baru kenderaan tersebut dari pentadbiran pusaka atau perintah mahkamah serta kelulusan dari Puspakom, pemohon boleh mula membuat urusan Pertukaran Milikan di cawangan JPJ berdekatan.
  • Rujuk kepada senarai borang yang diperlukan untuk urusan pertukaran hak milik dan lengkapkan dengan sempurna.
  • Waris perlu bawa sijil kematian asal pemilik kenderaan yang meninggal dunia
  • Untuk urusan cukai jalan boleh tanya pegawai JPJ berkenaan manakala insuran rujuk kepada syarikat insurans yang dipilih oleh pemohon

Berikut adalah senarai semakan dokumen dan borang urusan pertukaran pemilikan di JPJ:

Cara Tukar Nama Geran Kereta & Motorsikal Pemilik Meninggal Dunia

PROSEDUR DAN CARA TUKAR NAMA KERETA DAN MOTOSIKAL PEMILIK MENINGGAL DUNIA

Untuk menukar hak milik untuk penama asal geran kenderaan yang telah meninggal dunia kepada nama pengguna sedia ada bagi kenderaan tersebut, ikuti panduan di bawah.

Lengkapkan Borang Pertukaran Hak Milik Dan Dokumen Pengesahan

Pertama sekali, pemohon perlulah melengkapkan beberapa borang beserta dokumen pengesahan pentadbir/ pemilikan atau sokongan yang diperlukan. Berikut adalah borang yang perlu anda kemukakan untuk membuat permohonan:

  1. Dua salinan borang JPJ K3A yang telah diisi dengan lengkap dan ditandatangani oleh pemilik baru (penerima pusaka)
    download BORANG JPJ K3A
  2. Perakuan Pendaftaran Kenderaan asal (JPJK2 / Geran) atau yang terbaharu Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC)
  3. Dokumen pengesahan pemilikan / pentadbir yang asal jika berkenaan atau salah satu daripadanya seperti berikut:
    i) Surat perintah Mahkamah
    ii) Surat Geran Probet (Grand Letter of Probate)
    iii) Surat Akuan/ Arahan oleh Amanah Raya Berhad
  4. Laporan B5 Pemeriksaan Tukar Milik oleh PUSPAKOM yang masih berkuat kuasa / sah
  5. Salinan dokumen pengenalan identiti pemilik baru menggunakan TM-AB (jika tidak hadir semasa permohonan dikemukakan) * bagi kategori individu dan perniagaan milikan tunggal sahaja; TM-AB

Hadir Ke Cawangan JPJ Untuk Urusan Pertukaran Hak Milik

Setelah menyediakan borang dan dokumen yang diperlukan, pemohon perlu hadir sendiri ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdekatan untuk urusan pertukaran hak milik bagi melancarkan proses permohonan. Bagi pemohon yang menghantar wakil untuk urusan tersebut, ia memerlukan pengisian borang lain serta maklumat pengesahan identiti.

Segala urusan pertukaran hak milik akan diselesaikan di cawangan JPJ tersebut.

MAKLUMAT TAMBAHAN

  • Maklumat, borang dan prosedur pertukaran nama hakmilik bagi kenderaan kematian pemilik asal adalah tertakluk kepada perubahan atau pindaan semasa oleh pihak JPJ
  • Rujuk cawangan JPJ berdekatan untuk mendapatkan keterangan lanjut serta maklumat terkini bagi urusan pertukaran hak milik berkenaan
  • Maklumat yang dinyatakan adalah khusus untuk kenderaan persendirian milik sepenuhnya kepada pemilik yang meninggal dunia dan kenderaan tersebut tidak terikat dengan sebarang baki pinjaman mana-mana institusi kewangan atau perbankan
  • Jika sebaliknya, sila rujuk dengan pihak JPJ atau institusi kewangan / perbankan yang terlibat bagi mendapatkan keterangan lanjut

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
close-image