Nampak Macam Senang, Tetapi Mencabar Juga Nak Jawab Soalan Temuduga Ini
Nampak Macam Senang Soalan Ini, Tetapi Mencabar Juga Nak Jawab
Pastinya setiap calon bersedia dengan soalan yang sukar dan berkaitan dengan pekerjaan yang dipohon. Tetapi tahukah anda bahawa terdapat beberapa soalan yang lebih sukar dan mencabar serta tidak dapat dijangka akan disoal oleh penemuduga.
Mengapa penemuduga bertanyakan soalan yang mencabar ini? Ini kerana bakal majikan anda ingin mengetahui :
- Pengalaman kerja anda
- Kemahiran anda
- Kelebihan diri anda dalam pekerjaan
- Mengetahui diri anda dengan lebih dekat
- Memastikan anda menepati kehendak syarikat
Soalan-soalan ini dikatakan mencabar kerana ia tiba-tiba mencelah ketika sesi pengenalan diri calon diadakan secara santai. Apabila tiba-tiba ditanya, pastinya calon merasakan agak sukar dan mencabar kerana terpaksa menukar situasi ke arah yang lebih serius dan profesional.
Contoh Soalan Sukar & Mencabar
Anda boleh dapatkan contoh soalan yang mencabar seperti :
- “Berdasarkan pada resume, anda telah berhenti kerja di syarikat AA pada tahun 2001, bolehkan anda terangkan mengapa anda berhenti di syarikat tersebut?”
- “Saya dapati anda mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang ini. Tetapi jelaskan kepada saya mengapa anda meninggalkan pekerjaan tersebut dengan memohon jawatan ini?”
- “Berdasarkan sejarah pekerjaan anda, saya dapati anda kerap bertukar kerja antara tahun 2014-2015. Mengapa?
- “Pada tahun 2015 sehingga awal tahun 2016 tiada sebarang pekerjaan yang anda senaraikan dalam sejarah pekerjaan. Jelaskan kepada saya.”
- “Ceritakan dengan jelas kaitan kemahiran unik anda dengan jawatan yang dipohon ini.”
- “Anda mempunyai pelbagai pencapaian di dalam syarikat terdahulu. Malahan anda juga seorang pekerja terbaik syarikat tersebut. Sebab apakah anda berhenti ketika kerjaya anda sedang berada dikemuncak?”
- “Mengapa anda memohon jawatan ini sedangkan kelayakan anda melayakkan anda memohon jawatan yang lebih tinggi?”
- “Mengapa anda hendak bekerja dalam sektor awam dan bukan sektor swasta? / Mengapa anda hendak bekerja dalam sektor swasta dan bukan sektor awam?”
Dapatkan 5 soalan yang gerenti ditanya ketika temuduga nanti.
Cara Menjawab Soalan Yang Nampak Senang & Mencabar
Bagaimanakah untuk menjawab soalan yang nampak senang tetapi agak mencabar untuk dijawab ini?
Jawab Dengan Ringkas dan Tepat
Anda tidak perlu menjawab dengan panjang berjela sehingga hilang fokus dan point utama yang diperlukan oleh majikan. Jika terlalu panjang, kemungkinan jawapan yang diberikan berada diluar skop jawapan dan tidak memenuhi kehendak bakal majikan. Jawapan yang padat dan matang menunjukkan kredibiliti anda sebagai seorang calon pekerja yang dikehendaki oleh majikan.
Gunakan Nada dan Intonasi Positif
Walaupun anda rasa sukar untuk menjawab soalan yang dikemukakan, tenang dan gunakan nada dan intonasi yang positif ketika menjawab soalan. Majikan hanya ingin tahu sebab serta alasan daripada anda sahaja.
Jangan Salahkan Syarikat Lama Atau Individu
Ingat, jangan salahkan syarikat lama anda. Gantikan dengan kata-kata yang positif walaupun penemuduga cuba mengasak anda dengan soalan memprovokasi. Mereka sekadar ingin melihat dan meneliti personaliti anda sahaja.
Sekadar Menduga
Tanamkan dalam hati dan minda anda bahawa majikan hanya sekadar ingin menduga anda. Ya, majikan ingin melihat kematangan anda untuk menangani masalah atau isu dalam bidang pekerjaan. Malahan majikan juga ingin dapatkan ciri-ciri seorang pekerja yang sesuai dengan kehendak mereka.
Anda juga boleh rujuk 4 soalan yang tidak perlu dijawab semasa temuduga dan klik disini.
Nampak senang tetapi agak mencabar untuk menjawabnya bukan? Pastikan anda membuat persediaan dengan pelbagai kemungkinan soalan yang tidak dijangka. Sentiasa bersedia dengan soalan yang nampak senang ini ya.