Info Kerjaya Malaysia

“Berapa Gaji Saya? & Dua Lagi Soalan Yang Anda Tak Perlu Tanya Semasa Temuduga

1,610
Temuduga merupakan suatu proses yang sangat mencabar sebenarnya walaupun anda hanya menganggapnya sebagai proses soal jawab namun temuduga sangat memerlukan anda untuk memerah otak bagi menjawab soalan-soalan yang ditanya. Temuduga ini bolehlah disamakan dengan menjawab peperiksaan. Semestinya ada debarannya. Bukan itu sahaja, sama seperti peperiksaan, anda perlulah memiliki skil yang tepat untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya semasa temuduga tersebut. Anda juga perlulah melakukan persediaan yang rapi sebelum menghadiri temuduga. Persediaan ini penting bagi memastikan jawapan yang anda berikan itu releven dan menarik. Bukannya jawapan yang karut dan bakal memberi kesan kepada diri anda sendiri. Dalam artikel ini akan dikongsikan contoh soalan yang anda tidak perlu anda lontarkan kepada penemuduga semasa menghadiri temuduga. Jadi, jangan sesekali bertanyakan soalan-soalan yang disenaraikan di bawah. Berikut merupakan contoh-contoh soalan tersebut.

1. “Berapa Gaji Saya? Sekiranya Saya Di Terima Bekerja Di Sini?”

Tidak dinafikan anda sebenarnya ada hak untuk mengetahui berapa gaji yang akan dibayar jika diterima bekerja di tempat itu. Namun, bertanya tentang gaji secara melulu kepada penemuduga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya anda lakukan. Hal ini menunjukkan diri anda tidak ikhlas bekerja dan hanya ingin bekerja kerana gaji sedangkan majikan menginginkan pekerja yang betul-betul berkualiti. Jadi, jangan sesekali buka mulut untuk bertanya tentang jumlah gaji yang akan dibayar. Untuk makluman anda, pada akhir sesi temuduga, penemuduga akan berbincang tentang jumlah gaji yang akan dibayar kepada anda sekiranya anda diterima bekerja. Jadi, anda tidak perlu pun tanya kerana penemuduga akan memberitahu anda juga pada akhir sesi.

2. “Saya Tak Suka Dengan Bos Lama Saya!”

Jika anda pernah bekerja sebelum ini, anda mungkin akan diajukan dengan soalan “Mengapakah anda berhenti bekerja di tempat lama anda?” Mungkin soalan ini dilihat mudah sahaja untuk dijawab tetapi malangnya soalan jenis inilah yang merupakan soalan perangkap. Ramai calon temuduga yang akan menjawab “Saya tidak suka atau tidak sehaluan dengan bos lama saya.” Jangan sesekali jawab begini walaupun itulah realitinya. Kenyataan begini akan menampakkan lebih banyak keburukan pada anda. Oleh itu, anda disarankan untuk menjawab seperti ini sekiranya soalan tersebut diajukan kepada anda.
“Banyak ilmu dan pengalaman telah saya terima di tempat kerja dahulu. Namun, setelah difikirkan kembali, saya merasakan ada baiknya saya mencabar diri saya untuk bekerja di tempat lain bagi menimba pengalaman baharu.”

3. “Saya Dipecat Kerana…….”

Perihal tentang dipecat adalah suatu topik yang sangat ditegah untuk dibincangkan semasa temuduga kerana ianya bakal menunjukkan sisi buruk diri anda. Jadi, tidak perlu pun ceritakan tentang sebab anda dipecat melainkan jika ditanya. Jika ditanya sekalipun, tidak perlulah cerita secara menyeluruh tentang mengapa anda dipecat. Cukuplah sekadar memberikan jawapan begini.
“Saya sebenarnya berada dalam bidang kemahiran yang salah dan tidak sesuai dengan diri saya. Namun, apabila saya sedar, semuanya sudah terlambat. Saya akan pastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi!”
Adalah amat penting untuk anda berhati-hati dan menjaga perkataan-perkataan anda semasa menjawab soalan yang ditanya oleh penemuduga. Jangan sesekali berikan jawapan seperti yang dikongsikan dalam artikel ini. Kami mengucapkan selamat berjaya dalam temuduga anda.

close-image