Amalkan 5 Tips Solekan Yang Kurang Dari 10 Minit Ini Sebelum Menghadiri Temuduga
Solekan amat penting ketika anda menghadiri temuduga bukan sahaja untuk menambahkan keyakinan tetapi juga untuk memastikan penemuduga tertarik dengan anda.
Namun, permasalahan yang sering anda hadapi adalah kekangan masa. Ramai yang beranggapan bahawa solekan mengambil masa yang sangat lama. Oleh itu, kebanyakan daripada anda mengabaikan solekan. Anda akan terus menghadiri temuduga tanpa solekan.
Tidak salah sebenarnya. Namun, adalah lebih baik jika anda kenakan solekan. Sudah pasti anda akan lebih berkeyakinan jika bersolek. Jangan bimbang tentang faktor masa. Dalam artikel ini akan dikongsikan 5 tips solekan yang mengambil masa kurang daripada 10 minit yang boleh anda amalkan sebelum menghadiri temuduga. Berikut merupakan tips-tips tersebut.
PENGGUNAAN “FOUNDATION” ATAU BEDAK ASAS
Foundation bakal menjadikan kulit wajah anda lebih licin dan mulus. Oleh kerana foundation merupakan asas kepada solekan, adalah menjadi keperluan kepada anda untuk mengenakan foundation pada wajah anda. Tidak lama pun masa yang diambil untuk anda sapu foundation pada muka, hanya beberapa minit sahaja.
Sapukan foundation pada wajah anda dengan kadar nipis atau sederhana sahaja. Jangan terlalu tebal kerana ini bakal merosakkan solekan wajah anda. Harus diingat juga bahawa terdapat pelbagai jenis foundation yang dijual di pasaran dan anda haruslah bijak memilih jenis foundation yang sesuai dengan wajah anda.
MATA
Mata merupakan anggota badan yang paling mudah dilihat dan sering menjadi perhatian orang lain. Jadi, berikan fokus kepada mata anda sebelum menghadiri temuduga. Jika mata anda kelihatan kering, gunakanlah cecair seperti eye-glow untuk menampakkan mata anda sentiasa segar.
Penekanan perlu diberikan kepada mata sebenarnya merupakan aset yang paling banyak memainkan peranan ketika temuduga. Mana tidaknya, semasa sesi soal jawab dalam temuduga, penemuduga akan sentiasa melihat dalam mata anda.
Ada juga individu yang menggunakan “contect lens” sebagai solekan semasa menghadiri temuduga. Tujuannya adalah untuk bergaya kerana menampakkan bebola mata anda menjadi warna lain. Akan tetapi, pemakaian contact lens untuk menampakkan bebola mata anda bertukar warna tidaklah menjadi keperluan sangat kerana sudah mencukupi jika mata anda kelihatan segar.
MENGGUNAKAN PENSEL KENING ATAU EYEBROW
Terdapat juga individu yang mencukur kening mereka bagi menampakkan kening mereka cantik semasa hari temuduga. Anda sebenarnya tidak perlulah berbuat demikian. Gunakan sahaja eyebrow kerana eyebrow juga mampu untuk mengubah design kening anda.
Kening juga sebenarnya anggota penting dan menjadi anggota badan yang sering menjadi perhatian penemuduga kerana kedudukan kening adalah di atas mata. Apabila penemuduga memfokuskan mata anda, secara tidak langsung beliau akan turut melihat kening anda.
PENGGUNAAN PEMERAH PIPI
Anda juga boleh menggunakan pemerah pipi sebagai solekan sebelum menghadiri temuduga. Tidak lama pun masa yang diambil. Sapu sahaja. Pemerah pipi mempunyai fungsi dalam menaikkan tulang pipi dengan warna yang menarik.
GUNAKAN LIPSTIK
Bibir juga perlu dijaga dengan baik. Jangan biarkan bibir anda kelihatan seperti bibir mayat ketika menghadiri temuduga. Gunakanlah lipstik bagi menampakkan bibir anda lebih segar sekaligus dapatlah menyerlahkan keyakinan anda semasa temuduga.
Namun, adalah dinasihatkan juga supaya anda berhati-hati dalam membuat pemilihan jenis lipstik kerana sudah banyak kes berkaitan kesihatan direkodkan yang melibatkan lipstik. Antara contoh kes tersebut adalah jangkitan kuman terhadap bibir.
Jadi, pastikan anda memilih lipstik yang mempunyai kandungan vitamin yang tinggi dan juga bersesuaian dengan bibir anda.
Oleh yang demikian, letakkanlah solekan sebelum anda menghadiri temuduga. Anda perlulah kelihatan cantik semasa temuduga kerana daripada kecantikan anda itu maka akan timbullah keyakinan. Selamat berjaya dalam temuduga anda.