Info Kerjaya Malaysia

10 Dokumen Yang Perlu Dan Tidak Perlu Dibawa Semasa Temuduga

128,886

Persediaan rapi sangatlah diperlukan buat anda yang akan menghadiri temuduga. Selain persediaan, pengetahuan tentang temuduga juga sangatlah penting. Salah satu perkara yang harus anda beri perhatian tentang temuduga adalah dokumen-dokumen yang perlu anda bawa bersama semasa temuduga tersebut.

Dokumen-dokumen sokongan ini adalah sebagai bukti ataupun sebagai ringkasan tentang diri anda. Penemuduga juga ingin melihat dokumen-dokumen ini bagi sebagai protokol temuduga. Namun, tahukah anda bahawa bukan semua dokumen perlu anda bawa semasa hari temuduga tersebut?

Terdapat beberapa dokumen yang wajib anda bawa tetapi ada juga beberapa dokumen yang tidak perlu anda bawa semasa temuduga. Hanya dokumen yang ada kaitan dengan dunia pekerjaan yang dimohon sahaja perlu dibawa bagi menarik perhatian majikan manakala selebihnya tidak perlulah dibawa. Hal ini untuk memastikan penemuduga tidak berserabut memeriksa dokumen anda yang terlalu banyak tetapi sebenarnya tidak diperlukan.

Terdapat ramai calon yang menyangka membawa dokumen-dokumen yang banyak adalah penting untuk memastikan penemuduga tertarik dengan anda. Tanggapan tersebut salah sama sekali. Penemuduga sebenarnya tidak tertarik dengan dokumen yang banyak dan tidak penting.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10 dokumen yang perlu dan juga yang tidak perlu anda bawa bersama semasa temuduga. Jadi, bolehlah anda sediakan semua dokumen yang perlu dibawa ke temuduga dan juga bolehlah anda simpan dokumen yang tidak perlu di rumah.

DOKUMEN-DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA SEMASA TEMUDUGA

Pastikan kesemua dokumen-dokumen ini dibawa semasa temuduga. Kegagalan anda dalam membawa semua dokumen ini bakal menjejaskan keputusan penemuduga sama ada ingin mengambil anda bekerja atau tidak. Berikut merupakan kesemua dokumen-dokumen tersebut.

1.) Kad Pengenalan

Kad pengenalan sebenarnya perlu dibawa ke mana-mana bukan sahaja ke temuduga. Kad pengenalan menunjukkan identiti anda dan menjadi bukti bahawa anda merupakan warganegara Malaysia. Semasa temuduga, kad pengenalan akan menjadi bukti identiti diri anda seperti umur, taraf kewarganegaraan dan lain-lain.

Bukan sahaja kad pengenalan yang wajib anda bawa semasa temuduga. Anda juga wajib membawa salinan kad pengenalan kerana penemuduga akan menyimpan salinan kad pengenalan tersebut. Adalah dinasihatkan untuk anda membawa sekurang-kurangnya tiga salinan kad pengenalan bersama anda semasa temuduga.

Terdapat banyak kes sebelum ini, ramai calon yang menghadiri temuduga tidak membawa salinan kad pengenalan. Penemuduga akan memberi peluang untuk fotokopi kad pengenalan anda tetapi perkara ini akan menyebabkan penemuduga memberi tanggapan buruk kepada anda kerana anda seolah-olah tidak membuat persediaan rapi sebelum datang temuduga.

2.) Resume

Resume merupakan maklumat secara ringkas tentang diri anda. Resume sangat penting untuk penemuduga mengetahui maklumat diri anda seperti pencapaian, pendidikan serta pengalaman anda.

Adalah sangat penting juga untuk anda menyusun resume ini dengan baik bagi mengelakkan penemuduga hilang mood. Susun resume dengan baik dan teratur. Anda boleh membuat bacaan di internet tentang cara-cara menyusun resume dengan baik.

Resume sangat penting dan perlu dibawa semasa temuduga. Kegagalan anda membawa resume akan menyebabkan permohonan kerja anda di tempat itu ditolak kerana majikan akan menganggap anda tidak serius.

3.) Sijil

Bukan semua sijil yang perlu dibawa sebenarnya. Hanya sijil yang berkaitan dengan alam pekerjaan sahaja perlu dibawa. Sijil ini menjadi bukti pencapaian dan penglibatan anda.

Penemuduga mahu melihat sijil anda untuk memastikan anda layak bekerja dengan syarikat tersebut. Bawa juga bersama salinan sijil tersebut kerana penemuduga berkemungkinan ingin memintanya untuk disimpan.

4.) Dokumen Sokongan

Dokumen sokongan merupakan apa-apa sahaja dokumen yang berkaitan dengan permohonan pekerjaan anda. Dokumen sokongan ini penting bagi meningkatkan lagi keyakinan penemuduga terhadap diri anda di samping melihat sejauh mana kesediaan anda untuk bekerja di situ.

Contoh dokumen sokongan adalah seperti surat kebenaran majikan, surat panggilan temuduga dan lain-lain. Jangan sesekali lupa untuk membawa dokumen sokongan ini semasa temuduga.

5.) Dokumen Peribadi

Dokumen peribadi wajib dibawa untuk penemuduga memastikan status anda. Dokumen jenis ini termasuklah surat kahwin, surat beranak dan lain-lain. Susunlah kesemua dokumen ini secara teratur. Jangan lupa juga untuk membawa salinan dokumen-dokumen ini jika penemuduga memerlukannya.

DOKUMEN-DOKUMEN YANG TIDAK PERLU DIBAWA SEMASA TEMUDUGA

Di samping anda mengetahui dokumen-dokumen yang wajib anda bawa semasa temuduga, anda juga perlu ambil tahu dokumen-dokumen yang tidak sepatutnya anda bawa semasa temuduga.

Kesemua dokumen-dokumen ini sebenarnya tidak pun diperlukan oleh penemuduga. Oleh itu, anda tidak perlulah bawa, simpan sahaja di rumah. Contoh dokumen-dokumen yang tidak perlu dibawa adalah seperti berikut.

1.) Slip Keputusan Peperiksaan Semester

Tidak perlu bawa slip peperiksaan anda untuk setiap semester. Ini akan menyebabkan penemuduga menjadi serabut melihat terlalu banyak slip peperiksaan anda.

Ya! memang benar penemuduga perlu tahu keputusan anda. Namun, anda sebenarnya tidak perlu membawa slip keputusan peperiksaan setiap semester. Anda hanya perlu bawa transkrip sahaja ketika temuduga.

2.) Sijil-sijil Semasa Zaman Persekolahan

Tidak kiralah jika anda merupakan Ketua Tingkatan, Ketua Pengawas atau Ketua Keceriaan Kelas sekalipun, anda tidak perlu membawa sijil-sijil yang anda peroleh di sekolah dahulu. Tidak dapat dinafikan sijil-sijil ini sangat diperlukan semasa anda menghadiri temuduga ke IPT dahulu tetapi sijil-sijil ini tidak lagi laku untuk anda memohon kerja.

Mungkin ada di antara anda yang suka membawa banyak sijil bagi menarik perhatian penemuduga. Sebenarnya, penemuduga tidak tertarik langsung malah beliau akan rimas dengan sijil yang terlalu banyak. Bagi siji berkaitan peperiksaan awam seperti Sijil Ujian Lisan, letakkan sekali bersama dengan Sijil SPM dan perlu dibawa semasa temuduga.

3.) Keputusan UPSR & PMR

Sijil peperiksaan awam di sekolah yang perlu anda bawa semasa temuduga hanyalah sijil SPM dan STPM. Sijil UPSR dan PMR tidak perlu sama sekali. Sebenarnya, penemuduga tidak berminat dengan sijil-sijil di sekolah kerana beliau akan lebih berminat dengan pencapaian anda di IPT.

4.) Sijil AJK Kelab Kampung

Jika anda menjawat jawatan dalam kelab-kelab bertaraf kampung dan memperoleh sijil penghargaan bagi menghargai jasa anda itu, maka simpan sahaja sijil itu. Tidak perlu dibawa ke temuduga. Penemuduga tidak berminat sama sekali dengan sijil-sijil seperti itu. Sijil-sijil tersebut tidak langsung membantu dalam menarik perhatian penemuduga.

5.) Sijil Penyertaan

Jika sijil penghargaan pun tidak dilayan, apatah lagi sijil penyertaan. Penemuduga akan memberi reaksi yang buruk kepada anda kerana beliau akan menganggap anda ingin menunjuk-nunjuk dengan penyertaan anda. Jadi, kesimpulannya tidak perlulah bawa sijil-sijil ini. Bawalah sijil yang diperlukan sahaja.

Pihak kami berharap agar artikel ini dapat memberi manfaat kepada anda. Pastikan anda teliti setiap dokumen yang perlu dibawa semasa temuduga dan juga dokumen yang tidak perlu dibawa. Selamat berjaya buat anda!

close-image